PERPINDAHAN bekas penyerang Real Madrid, Jese Rodriguez ke Johor Darul Ta'zim (JDT) pada pertengahan 2024/25 tidak membawa keuntungan lumayan apabila dia hanya mencetak empat gol dan dua bantuan jaringan daripada 13 penampilan.
Peluang terhad tersebut adalah disebabkan kecederaan berulang dialami pemain itu yang memaksanya meluangkan masa lebih lama untuk mendapat rawatan.
Namun, di sebalik itu, penghijrahan tersebut menjadi platform terbaik dalam meningkatkan reputasi skuad Harimau Selatan ke peringkat antarabangsa.
BACA LAGI: Bekas import TFC-Sabah juga bergelut, berdepan situasi sama seakan Jese Rodriguez
BACA LAGI: Tak lama lepas digugurkan JDT, Jese Rodriguez disebut berada dalam radar kelab lama

Perpindahan Jese ke skuad Harimau Selatan menimbulkan perasaan cukup menggembirakan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Bagi Jese pula, peluang berada di kelab itu memberikannya peluang untuk menggunakan fasiliti dan kemudahan tersedia untuk membantunya ke tahap kecergasan terbaik.
Hal tersebut pernah diakui pemenang dua kali Liga Juara-Juara UEFA (UCL) itu yang berkongsi bagaimana pelan disediakan JDT membantunya dalam mengurangkan berat badan.
Ini sekali gus membantunya kembali ke prestasi lebih baik, terutamanya selepas dia memilih untuk menyertai kelab Sepanyol, Las Palmas buat kali ketiga dalam kariernya.
Masa diluangkan bersama JDT jelas membuahkan hasil apabila Jese berjaya menamatkan kemarau jaringan hampir 10 bulan ketika membantunya pasukannya meraih kemenangan pada Ahad.
Dalam aksi LaLiga 2 di laman sendiri, Las Palmas memanfaatkan kehadiran penyerang berpengalaman itu dalam meraih kemenangan 4-0 ke atas Cultural Leonesa.

Dua gol daripada Jese memastikan Las Palmas meraih tiga mata penuh. — Agensi
Dua gol yang dicetak pada babak pertama permainan itu mencerminkan kebolehan dan keyakinan Jese untuk membantu pasukannya meraih tiga mata penuh.
Keputusan tersebut menyaksikan Las Palmas kekal di tangga kedua carta hasil 34 mata dikutip daripada 19 perlawanan dengan sembilan kemenangan, tujuh keputusan seri dan hanya tiga kekalahan dicatatkan.
Sekiranya berjaya mengekalkan momentum, tidak mustahil bagi skuad kendalian Luis Garcia itu kembali ke divisyen utama setelah tersingkir pada musim 2024/25.
Bagi memastikan prestasi itu dapat berterusan, Las Palmas pasti mengharapkan tonggak utama, termasuk Jese untuk terus cergas memasuki fasa lebih mencabar selepas ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
