KEHILANGAN beberapa tonggak utama di bahagian serangan memaksa Johor Darul Ta'zim (JDT) membuat perubahan dengan membawa masuk beberapa pemain baharu pada jendela perpindahan Januari nanti.
Perkembangan itu disahkan sendiri oleh pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut menjelaskan bahawa beberapa pemain import sedia ada bakal dipinjamkan ke pasukan lain bagi memberi ruang kepada muka baharu.
Dalam perkembangan itu, Tunku Ismail juga mendedahkan bahawa ketiga-tiga pemain berkenaan sudah memberikan persetujuan untuk menyertai JDT bagi memperkuatkan cabaran kelab itu dalam baki saingan yang melibatkan skuad Harimau Selatan itu.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Ingatkan bonus', TMJ pernah 'warning' Hariss Harun jika gagal tewaskan Kelantan
BACA LAGI: [VIDEO] TMJ sahkan 3 import baharu sertai JDT, musuh HM-kuda tua Portugal antara 'toplist'
Petunjuk mengenai negara kelahiran bakal pemain JDT itu menimbulkan pelbagai spekulasi dan antara yang sedang dikaitkan akan menyarung jersi Harimau Selatan ialah penyerang Brazil, Lucas Ribeiro.
Khabar angin itu bermula selepas wartawan terkenal Sepanyol, Angel Garcia melaporkan Ribeiro muncul sebagai pemain paling hangat diburu di pasaran perpindahan selepas dilaporkan menerima tawaran daripada JDT.
Selain minat kelab Malaysia itu, Ribeiro turut dikaitkan dengan beberapa tawaran lain termasuk daripada kelab Qatar, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya bersama kelab La Liga2, Cultural Leonesa.
Ribeiro yang menyertai Cultural Leonesa pada September lepas dari kelab Afrika Selatan, Mamelodi Sundowns sebelum ini menandatangani kontrak sehingga Jun 2028.
Namun, prestasi yang tidak memuaskan bersama kelab Sepanyol berkenaan menyebabkan kontraknya kini berada dalam risiko, terutama menjelang jendela perpindahan Januari nanti.
Pihak pengurusan Cultural Leonesa dilaporkan bimbang dengan situasi semasa, memandangkan klausa pelepasan Ribeiro hampir mencecah €2 juta (RM9.2 juta) sekali gus menjadikannya sasaran mudah bagi kelab yang berkemampuan.
Walaupun spekulasi semakin rancak, pemain berusia 27 tahun berkenaan memilih untuk kekal profesional dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas semasa bersama Cultural Leonesa.
"Saya sangat gembira di Cultural dan kini fokus sepenuhnya terhadap perlawanan Copa del Rey menentang Levante. Masa depan saya saya serahkan kepada ejen, buat masa ini saya hanya mahu membantu pasukan di atas padang," jelasnya.
Prestasi konsisten Ribeiro bukan sahaja menaikkan nilai pasaran antarabangsanya, malah menarik minat kelab-kelab dari liga berprofil tinggi seperti Qatar dan Maghribi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
