Kongsi kegagalan pengurusan, siapa dimaksudkan orang kuat HM?


  • Podium
  • Isnin, 22 Dis 2025

Craig Duncan (dua dari kiri) merupakan antara individu dalam pengurusan Harimau Malaya ketika ini. — Facebook/FAM

SITUASI dihadapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Harimau Malaya kebelakangan ini terus mencengkam apabila hukuman demi hukuman terus dikenakan berikutan isu tujuh pemain warisan.

Terbaru, skuad kebangsaan dikenakan denda berjumlah CHF10,000 (RM51,414) selain tiga perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum ini diisytiharkan kalah menerusi keputusan 0-3.

Ini memberi tekanan cukup hebat terhadap badan pengurusan selepas sebelum ini, mereka diarahkan membayar CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) sementara ketujuh-tujuh pemain terlibat dikenakan penggantungan 12 bulan.

BACA LAGI: Dr Duncan mahu jadikan Harimau Malaya skuad paling cergas di Asia

BACA LAGI: 'Terima kasih TMJ', kedatangan Cklamovski dihujani penghargaan buat Tunku Ismail

Craig Duncan dilantik dengan harapan prestasi pasukan negara dapat dipertingkatkan. Facebook/FAM

Hukuman dihadapi itu membuatkan reputasi Harimau Malaya dan negara terus tercalar di peringkat antarabangsa di samping kedudukan dalam ranking FIFA terus jatuh.

Malah, setiap perkara dibangkitkan juga sudah tentu memberi tekanan ke atas setiap individu dalam pengurusan yang pasti dipersalahkan atas nasib dialami skuad kebangsaan.

Perasaan berkenaan seperti menyelubungi Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, Dr Craig Duncan yang mencuri perhatian menerusi hantaran di Instastory peribadinya.

Dalam perkongsian dibuat pada Ahad, dia yang menjadi nadi utama dalam menilai fizikal pemain negara memuat naik kata-kata teguran terhadap pengurusan yang kemungkinan besar ditujukan kepada pihak atasan Harimau Malaya.

Hantaran dibuat Duncan yang berbaur teguran terhadap badan pengurusan.

"Pasukan keletihan, sistem rosak dan ketua yang berpura-pura ia masih berjalan lancar. Sekiranya pasukan anda keletihan memasuki hujung tahun, ia bukanlah tahun berjaya, tetapi sebaliknya kegagalan pengurusan," tulisnya.

Malah, pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Performance Intelligence Agency itu turut membuat hantaran berbeza yang sekali lagi mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan.

"Bukan setiap impak itu dapat disaksikan dan bukan setiap apa yang dapat dilihat itu sebagai sebuah impak," kongsinya menerusi medium sama.

Meskipun teguran dan kata-kata berkenaan tidak diajukan kepada pengurusan Harimau Malaya, ramai berpandangan sedemikian melihat kepada situasi semasa.

Hantaran terbaru dibuat Craig Duncan yang mencuri perhatian ramai pihak.

Duncan bukanlah individu pertama dalam skuad kebangsaan yang bersuara setakat ini kerana sebelum ini, Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih pernah disebut-sebut akan meninggalkan projek terbabit.

Bagaimanapun, khabar angin itu pantas ditepis pengendali dari Australia tersebut yang masih komited dengan pelan jangka masa panjang pasukan kebangsaan.

Perancangan itu masih boleh berubah, lebih-lebih lagi sekiranya hukuman lebih besar dikenakan seperti penyertaan ke Piala Asia 2027 terbatal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram