SELEPAS diumumkan pelantikannya pertengahan Disember lalu, Peter Cklamovski yang merupakan pengendali baharu Harimau Malaya akhirnya tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Rabu.
Perkara itu diumumkan di laman media sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyaksikan jurulatih berusia 46 tahun terbabit kelihatan teruja dengan tugasan baharunya.
"Ketua jurulatih kebangsaan yang baharu, Peter Cklamovski selamat tiba di KLIA, Sepang dari Sydney, Australia, petang tadi (Rabu) untuk memulakan tugas membimbing skuad Harimau Malaya," katanya.
BACA LAGI: Dr Duncan mahu jadikan Harimau Malaya skuad paling cergas di Asia
BACA LAGI: 'Tengok hasil baru komen', 'ekor' Harimau Malaya mahu tunggu dan lihat impak taktikal Rob Friend
Pelantikan Cklamovski disusuli kehadiran Rob Friend (kiri) dan Dr Craig Duncan. — Facebook/FAM
Pengendali yang mengisi jawatan tersebut susulan pemergian Kim Pan-gon itu sememangnya diharapkan dapat membawa sinar baharu buat pasukan negara yang sedang mengalami kemerosotan kebelakangan ini.
Ini kerana kehadirannya turut disokong dua individu baharu iaitu Rob Friend yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya sementara Dr Craig Duncan bertugas sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan.
Namun, penyokong berasakan Cklamovski dapat membawa skuad kebangsaan ke tahap lebih tinggi kerana akan menerima bantuan daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mula menitikberatkan pasukan negara.
Hal itu turut disedari pengikut setia Harimau Malaya apabila masing-masing berterima kasih kepada pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan yang memainkan peranan penting di sebalik pelantikannya.
"Selamat datang coach. Buat seluruh rakyat Malaysia, ayuh menyokong skuad negara kita, terima kasih TMJ (Tunku Mahkota Johor)" ujar Abdul Majid.
Tunku Ismail bercita-cita besar untuk membantu skuad kebangsaan.
"Harapnya kehadiran Cklamovski dapat membawa sinar baharu buat Harimau Malaya. Apa-apa pun, saya ingin katakan terima kasih kepada Tunku Ismail atas pelantikannya," kata Ibrahim Naim.
Kebelakangan ini, Tunku Ismail kelihatan cukup bersemangat untuk membantu skuad kebangsaan apabila mengumumkan seramai tujuh pemain warisan baharu akan tiba dalam masa terdekat.
Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan suntikan dana bernilai RM15 juta akan disalurkan, sekali gus menyaksikan bantuan kerajaan bagi pembangunan FAM sudah mencecah RM30 juta.
Dana disediakan tersebut sudah tentu akan membantu badan induk bola sepak negara berkenaan untuk menaik taraf infrastruktur dengan harapan persembahan pasukan di atas padang dapat meningkatkan berbanding tahun-tahun lalu.
Sekiranya kesemua perancangan diterapkan membuahkan hasil, tidak mustahil sekiranya Harimau Malaya mampu beraksi lebih baik, apatah lagi melayakkan diri ke pentas Piala Asia akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram