Saling tak tumpah kes skandal pemain warisan Malaysia, ex Man United antara dituduh tipu status kerakyatan


  • Podium
  • Khamis, 18 Dis 2025

Congo kini selangkah ke Piala Dunia selepas menewaskan Nigeria di pusingan kelayakan.

BEBERAPA nama pemain Republik Demokratik Congo (DRC) kini menjadi perhatian selepas didakwa terlibat dalam isu penipuan status kerakyatan bagi membolehkan mereka beraksi untuk skuad antarabangsa negara tersebut.

Dakwaan itu hadir selepas gergasi Afrika, Nigeria membuat aduan terhadap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) usai kekalahan mereka kepada Congo pada perlawanan akhir play-off kelayakan Piala Dunia 2026 zon Afrika.

Kekalahan itu menamatkan impian Nigeria untuk ke Piala Dunia sementara Congo perlu mengharungi perlawanan antara benua untuk mengesahkan tempat di kejohanan tersebut.

BACA LAGI: Chong Wei desak BAM rapatkan jurang kualiti pemain perseorangan sebelum Piala Thomas

BACA LAGI: Sangka menang tipis, Amorim kecewa Man United terlalu santai 'bocor' minit akhir

Wan-Bissaka (kiri) antara pemain didakwa ada kerakyatan berkembar.

Dalam aduan yang dilakukan oleh Nigeria itu, mereka mendakwa Congo menurunkan pemain yang mempunyai kerakyatan berganda (dual nationality) sedangkan itu bercanggah dengan peraturan negara tersebut.

Antara pemain didakwa mempunyai status adalah bekas duo Manchester United iaitu Aaron Wan-Bissaka serta Axel Tuanzebe yang dikatakan masih memegang pasport United Kingdom.

Selain mereka berdua, masih lagi ada pemain-pemain Congo lain yang masih memegang kerakyatan Perancis dan negara Eropah lain.

Setiusaha Agung FA Nigeria, Mohammed Sanusi mendakwa FIFA sudah diperdaya oleh Congo hingga perkara tersebut terlepas begitu saja.

"Undang-undang Congo menyatakan seseorang tidak dibenarkan memiliki kerakyatan berganda, namun sebahagian pemain mereka mempunyai pasport Eropah dan Perancis.

"Terdapat apa yang kami anggap sebagai pelanggaran terhadap peraturan FIFA. Kami menyatakan perkara ini bersifat penipuan," ujarnya.

Di pihak Congo, mereka mendapati tindakan Nigeria adalah percubaan untuk memenangi perlawanan menerusi pintu belakang.

"Perlawanan (kelayakan) Piala Dunia mesti dimainkan dengan maruah dan keyakinan. Bukannya menerusi helah para peguam," kata FA Congo.

Situasi dua negara Afrika itu saling tidak tumpah dengan apa yang terjadi melibatkan Malaysia apabila Vietnam menghantar aduan kepada FIFA mengenai salah laku pemain Harimau Malaya.

Siasatan FIFA mendapati terdapat tujuh pemain Malaysia bersalah memalsukan dokumen berkaitan kerakyatan mereka dengan kes tersebut sedang dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram