SEBAIK menerima mandat menyertai projek revolusi Harimau Malaya, Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, Dr Craig Duncan telah menetapkan misi untuk menjadikan skuad kebangsaan sebagai pasukan paling cergas di Asia.
Dr Duncan difahamkan telah mula merancang untuk melaksanakan strategi yang selari dengan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia dalam struktur organisasi baharu pasukan kebangsaan.
Memanfaatkan pengalaman luasnya, terutamanya dalam bola sepak dan sukan Australia, dia mahu meningkatkan sains sukan, sains perubatan, kecergasan, pemakanan serta psikologi pemain.
BACA LAGI: Dana RM30 juta bukti kerajaan komited, FAM boleh beri imbuhan tinggi demi moral pemain
BACA LAGI: Terima dana tambahan RM15 juta, FAM diingat tak hanya tunggu pemberian, perlu giat tarik pelaburan
“Bagi saya, semua aspek ini penting untuk memaksimumkan prestasi setiap pemain bagi membantu ketua jurulatih, Peter Cklamovski,” katanya dalam hantaran di laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis.
Dengan menumpukan kepada sains sukan, Dr Duncan berazam untuk mengangkat nama baik Harimau Malaya ke peringkat tertinggi suatu hari nanti.
“Sasaran saya adalah untuk menjadikan pasukan kebangsaan Malaysia pasukan paling cergas di Asia. Sekarang ini, perjalanan kita masih panjang.
“Tetapi kami akan mencapai tahap itu. Semuanya berkaitan dengan strategi yang akan kami pakai. Usaha ini mesti sejajar dengan rangka kerja berprestasi tinggi bertaraf dunia," jelasnya.
Dr Craig Duncan telah menetapkan misi untuk menjadikan skuad kebangsaan sebagai pasukan paling cergas di Asia. — Facebook/FAM
Dr Duncan adalah salah seorang individu utama yang menyertai projek revolusi Harimau Malaya berkenaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rob Friend dan jurulatih terbaharu, Cklamovski.
Projek pasukan kebangsaan sedang diselia oleh Pemangku Raja Johor dan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Dr Duncan melahirkan rasa kagumnya terhadap visi Tunku Ismail untuk berjaya dalam revolusi pasukan negara.
"Saya sangat teruja selepas bertemu dengan ahli pasukan saya, termasuk ahli fisioterapi, jurulatih kecergasan, dan jabatan perubatan sukan.
"Saya tahu kita boleh bekerjasama dan menghasilkan lebih banyak aspek positif dalam pasukan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram