
PERSATUAN Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) sebelum ini menafikan mengenai khabar angin pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia akan menjadi jemputan dalam aksi persahabatan bersama Lubnan.
Media Indonesia iaitu Skor.id memetik kenyatan daripada Ahli Jawatankuasa Eksekutif PSSI, Arya Sinulingga yang memberitahu bahawa Indonesia memang tiada perancangan menganjurkan kejohanan berkenaan.
Jawapan PSSI itu jelas mengecewakan penyokong yang rindu menyaksikan aksi seteru tersebut selepas kali terakhir Malaysia dan Indonesia bertemu pada aksi Piala AFF Suzuki Cup 2021 yang menyaksikan Sang Garuda di bawah kendalian Shin Tae-yong menang dengan keputusan 4-1.
BACA LAGI: Perlukan mesin cetak gol? TFC-Sabah-Penang boleh sambar 'top scorer' Liga Indonesia
BACA LAGI: Status bersama JDT masih samar, yang pasti Jordi Amat nafi khabar angin ke Indonesia
Memberi respons harapan penyokong itu, Presiden PSSI iaitu Erick Thohir menyuarakan hasrat untuk melihat skuad Garuda menentang pasukan Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa yang dijangka berlangsung pada September ini.
Ketika ini, skuad kebangsaan Indonesia yang dibimbing oleh jurulatih baharu, Patrick Kluivert sedang bersaing dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia. Pasukan itu masih berpeluang mara ke pusingan seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober.
Sehubungan itu, konglomerat Indonesia itu tersebut mahu persiapan rapi dibuat termasuk mengatur aksi persahabatan berkualiti bagi menguji keupayaan pasukan menghadapi lawan yang lebih kuat.
Ketua PSSI, Erick Thohir, merencanakan uji coba antara Timnas Indonesia dengan Timnas Malaysia pada FIFA Matchday September 2025. #bolacomid #blclpt #erickthohir #timnasindonesia #malaysia #fifamatchday pic.twitter.com/t6VSp0rvJ5
— BOLA.COM (@bolacomID) May 6, 2025
Memetik video dimuat baik Bola.Com, Erick menyatakan bahawa Malaysia kini berada dalam radar PSSI untuk mengisi salah satu slot perlawanan persahabatan, selain beberapa pasukan dari Timur Tengah.
"Satu atau dua slot (aksi persahabatan) mungkin untuk negara Timur Tengah. Tapi satu slot lagi, kita lihat pada Malaysia yang sedang memperkemas pasukan mereka," ujar Erick dalam video tersebut.
Selain itu, Erick turut menambah bahawa faktor pertukaran jurulatih dan kehadiran ramai pemain baharu dalam skuad Harimau Malaya menjadi antara tarikan untuk mengatur perlawanan persahabatan tersebut.
"Kita juga lihat mereka (Malaysia) telah menukar jurulatih dan ada ramai pemain baharu, jadi kita pun mahu mencuba juga," katanya lagi.
Presiden PSSI, Erick Thohir.
Bukan itu sahaja, Erick juga menyentuh tentang keinginan peminat dan pihak pengurusan bola sepak Indonesia untuk kembali menyaksikan pertembungan klasik antara dua negara serumpun berkenaan.
"Rasanya kita pun sudah rindu nak lawan Malaysia, dah agak lama. Jadi, sebagai uji kekuatan bersama, sekiranya Malaysia bersetuju.
"Kalau tidak pun tak mengapa, mungkin lain kali," katanya, sambil menegaskan bahawa keputusan akhir bergantung kepada kesediaan pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram