Erick Thohir sahkan 'friendly' HM-Garuda terbatal, rupanya tiada dalam perancangan FAM


  • Podium
  • Ahad, 01 Jun 2025

Pertembungan antara Indonesia dan Malaysia di atas padang merupakan satu perlawanan yang cukup dinanti-nantikan.

PERTEMBUNGAN antara Harimau Malaya dan skuad Garuda sememangnya satu aksi yang cukup dinantikan peminat bola sepak sekitar Asia Tenggara memandangkan perlawanan tersebut dikenali dengan julukan Derbi Nusantara.

Selain menampilkan antara dua pasukan terbaik dalam serantau, pertemuan kedua-dua negara itu sering ditonton kerana keghairahan penyokong menaikkan lagi seri setiap kali perlawanan berkenaan berlangsung.

Menyedari kehangatan tersebut, Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir mencadangkan satu pertembungan antara Malaysia dan Indonesia diadakan dalam masa terdekat.

BACA LAGI: [VIDEO] Rindu jumpa Malaysia, pertukaran jurulatih dan muka baharu tarik minat Erick Thohir

BACA LAGI: Ejen Cristiano Ronaldo bakal adakan projek bersama TMJ, Erick Thohir?

Erick Thohir memberi cadangan untuk mengadakan pertemuan antara Malaysia dan Indonesia pada September depan. Facebook/FAM

Berdasarkan laporan di laman Instagram seasiagoal, aksi persahabatan itu dicadangkan berlangsung pada September akan datang, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana ditolak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Kami amat teruja untuk berdepan Malaysia sekali lagi kerana kami merindui perlawanan dengan mereka. Oleh itu, kami berhasrat untuk melangsungkannya pada September dengan ia sesuai berdasarkan kalendar FIFA. Tetapi, FAM ada perancangan lain," tulisnya.

Aksi Derbi Nusantara sudah lama tidak disaksikan kerana kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada saingan Piala AFF 2021 yang menyaksikan Harimau Malaya tewas 1-4 di Stadium Kebangsaan Singapura.

Jadi, selepas hampir empat tahun tidak berpeluang beradu di atas padang, ramai sudah tentu teruja sekiranya perlawanan itu dapat dilangsungkan pada September depan yang bagaimanapun sukar direalisasikan.

FAM memilih untuk menolak pelawaan Erick Thohir dan PSSI kerana sudah mempunyai perancangan berbeza. Facebook/FAM

Malah, dalam laporan terbaru Stadium Astro, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menyatakan keputusan menolak pelawaan tersebut diambil kerana ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski sudah mempunyai perancangan lain.

Berdasarkan jadual terkini, skuad kebangsaan akan berdepan Vietnam pada 10 Jun depan dalam aksi kedua kempen Kelayakan Piala Asia 2027 sebelum kembali beraksi Oktober depan untuk bertemu Laos.

Namun, tidak mustahil sekiranya FAM dan Cklamovski berhasrat untuk mengadakan perlawanan persahabatan untuk mewujudkan keserasian dalam pasukan sebelum kedua-dua aksi getir berkenaan.

Bagi Indonesia pula, mereka yang sudah sah akan berentap dalam Piala Asia 2027 kini sedang menduduki tangga keempat Kumpulan C dengan hanya dua perlawanan berbaki untuk mara ke pusingan keempat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram