Tambah garam di luka Harimau Malaya, media China tuduh Vietnam ‘kaki repot’ ke FIFA


  • Podium
  • Rabu, 01 Okt 2025

Media China mendakwa, VFF membuat laporan itu ke FIFA sejurus selepas skuad kebangsaan Malaysia menewaskan Vietnam dengan keputusan 4-0 pada Jun lepas. — Facebook

SKANDAL tujuh pemain warisan Malaysia tampak menjadi topik penyokong bola sepak luar negara apabila media China mendakwa Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) merupakan dalang merosakkan revolusi Harimau Malaya. 

Beberapa media China, termasuk 163 dan QQ secara terbuka mendakwa bahawa VFF merupakan pihak yang mengemukakan protes kepada Persatuan Bola Sepak Persekutuan Antarabangsa (FIFA).

"Selepas perlawanan, Persekutuan Bola Sepak Vietnam telah mengemukakan protes berhubung dakwaan penggunaan pemain naturalisasi secara tidak sah oleh pasukan Malaysia dalam perlawanan tersebut," lapor salah satu laporan media China.

BACA LAGI: Skandal pemain warisan: Indonesia nafi terlibat dalam sekatan FIFA terhadap FAM

BACA LAGI: Skandal pemain warisan: Kenapa perlu bimbang kalau FAM ikut undang-undang? – Saifuddin

Laporan media lain pula menambah bahawa selepas perlawanan berkenaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah dilaporkan dengan ia dipercayai dilakukan oleh pihak Vietnam. 

Walaupun laporan berita dari Media China berkenaan tidak dilampirkan dengan bukti kukuh dan hanya bersifat dakwaan, ia masih menimbulkan ketegangan dalam hubungan bola sepak antara kedua-dua negara. 

Selain Vietnam, Indonesia juga didakwa terlibat dalam hukuman FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya sebelum ia dinafikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir. 

Erick yang juga Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia memaklumkan pertemuan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino di New York hanya menumpukan kepada masa depan bola sepak Indonesia termasuk rancangan menubuhkan Akademi FIFA.

Tujuh pemain warisan Harimau Malaya digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.  Facebook

Terdahulu, FIFA dalam kenyataan rasminya mendedahkan FAM dan tujuh pemain warisan didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) kerana menyerahkan dokumen yang dipalsukan dalam proses pengesahan kelayakan pemain.

Pemalsuan itu dilakukan bagi membolehkan pemain berkenaan disenaraikan dalam perlawanan rasmi skuad kebangsaan.

Tujuh pemain terbabit adalah Gabriel Palermo, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Hasil siasatan Jawatankuasa Tatatertib FIFA, FAM dikenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala setiap pemain terbabit didenda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram