Bintang EPL terpaksa tutup ruangan komen lepas Garuda gagal ke Piala Dunia


  • Podium
  • Isnin, 13 Okt 2025

Kluivert (kanan) merupakan antara pemain sayap paling digeruni di pentas EPL sejak menyertai Bournemouth. — Agensi

KEKALAHAN tipis dialami kepada Arab Saudi dan Iraq dalam pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026 meranapkan harapan Indonesia untuk ke pertandingan tertinggi peringkat bola sepak antarabangsa itu.

Penyingkiran tersebut sudah tentu pahit untuk ditelan wakil tunggal Asia Tenggara berkenaan yang sudah menempuh cabaran hebat sepanjang kempen kelayakan.

Malah, dalam pusingan ketiga sebelum ini, skuad Garuda merekodkan beberapa keputusan mengejut seperti kemenangan ke atas China, Arab Saudi dan Bahrain di laman sendiri.

BACA LAGI: Timnas Indonesia dimalukan Australia, fans HM percaya PSSI salah langkah lantik Kluivert

BACA LAGI: Indonesia selangkah gagal ke Piala Dunia, tidak hormati STY dianggap ‘karma’ fans Sang Garuda

SOCCER-WORLDCUP-IDN-CHN/REPORT

Kluivert dipersalahkan atas kegagalan skuad kebangsaan Indonesia ke pentas Piala Dunia 2026. Agensi

Berang akan penyingkiran tersebut, penyokong mula mempersalahkan keputusan Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir yang mengambil keputusan melantik Patrick Kluivert untuk menggantikan Shin Tae-yong.

Percaturan itu jelas memakan diri apabila Indonesia bergelut sepanjang berada di bawah bimbingan jurulatih kelahiran Belanda terbabit yang masih setahun jagung dalam bidang berkenaan,

Jadi, untuk menzahirkan perasaan masing-masing, penyokong di negara jiran bertindak meninggalkan komen berbaur cemuhan ke atas Kluivert dengan harapan PSSI dapat menggugurkannya segera.

Tidak cukup dengan itu, akaun media sosial milik anak Patrick iaitu Justin turut menjadi sasaran atas kegagalan Indonesia meloloskan diri ke Piala Dunia.

Situasi tersebut mendesak pemain sayap Bournemouth terbabit menutup ruangan komen di laman Instagram peribadinya kerana tidak tahan dengan kritikan tidak henti itu.

Kluivert menyahaktif ruangan komen di akaun Instagram peribadinya.

Hal itu disedari dan dikongsikan pemilik Facebook Giresse Brorealan yang membuat hantaran mengenai tindakan Justin itu tidak lama selepas kekalahan skuad Garuda.

Sekiranya perkara tersebut benar, ia boleh mencalarkan imej bola sepak di Asia Tenggara kerana pemain berkenaan kini mewarnai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama skuad The Cherries.

Penyerang sayap berusia 26 tahun itu juga amat dikenali dan digeruni barisan pertahanan lawan selepas merekodkan 20 gol dan tujuh bantuan jaringan daripada 72 penampilan.

Tidak cukup dengan itu, Justin juga merupakan antara pemain dalam skuad antarabangsa Belanda yang kerap dipanggil meskipun hanya diturunkan 10 kali sejak mencipta debut pada 2018.

Serangan di ruangan komen oleh penyokong Indonesia itu boleh dikatakan sesuatu yang memalukan kerana pemain sayap tersebut tidak melakukan sebarang kesalahan dalam kegagalan pasukan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram