Makan masa 24 jam dari Kelantan-KL akibat kereta rosak, ketabahan Rahim Yusoff terbalas, terpilih laksana ibadah Umrah tajaan YAKEB-Ikhlas.com


  • Podium
  • Khamis, 11 Dis 2025

Rahim (tengah) masih gigih menjalani kehidupan seharian tanpa mengharapkan bantuan meskipun berstatus OKU. — Instagram/YAKEB

SEHINGGA hari ini, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) tidak putus membantu bekas atlet yang dahulunya pernah membawa nama negara ke mata dunia.

Baru-baru ini, badan kebajikan itu tampil menziarahi bekas atlet para tanah air, Rahim Yusoff yang menetap di Kelantan dengan misi bertanya khabar dan menghulurkan bantuan.

Dalam hantaran dimuat naik pada Jumaat, YAKEB berkongsi kunjungan yang dilakukan pada 25 November lalu bagi menyantuni atlet yang turut dikenali sebagai Poksu Mie itu.

BACA LAGI: Rashid Sidek meriahkan pertandingan Bowling SAM-YAKEB 2025 edisi ke-3

BACA LAGI: Golf amal Pekema sasar kutipan RM150,000 bantu rumah kebajikan, sedia pertimbang tolong ahli Yakeb

Rahim (dua dari kanan) menempuh perjalanan lama ketika hendak menghadiri majlis konvokesyen anak di UiTM.

"Skuad YAKEB Prihatin melihat sendiri bagaimana Rahim mengurus kehidupan walaupun kedua-dua tangannya terhad, semua urusan beliau lakukan dengan kaki.

"Ini termasuk menjahit, bercucuk tanam, menternak ikan, menggembala lembu sehingga memandu dari Kelantan ke Kuala Lumpur (KL). Ketabahan ini nyata apabila anaknya bakal menghadiri majlis konvokesyen di UiTM Shah Alam pada 27 November," tulis YAKEB.

Dalam hantaran berkenaan, badan kebajikan itu berkongsi bagaimana bekas olahragawan negara tersebut berdikari membangunkan tanaman sendiri meskipun berstatus orang kelainan upaya (OKU).

Namun, kongsi YAKEB, cabaran hebat menimpa pemenang pingat emas Sukan Para Asia 2003 itu ketika dalam perjalanan ke KL selepas kenderaannya rosak di Gua Musang, Kelantan.

"Mereka terpaksa bermalam di tepi jalan dalam kereta, menunggu bantuan mekanik keesokan harinya. Perjalanan enam ke tujuh jam menjadi lebih 24 jam! Namun, ALLAH tidak sia-siakan kesabaran. Rahim sekeluarga tetap tiba di konvokesyen dengan penuh kegembiraan.

"Pada 28 November, ketika sesi temu ramah dengan IkhlasDotCom, Rahim diumumkan terpilih menyertai Trip Umrah ke-2 pada Februari 2026 yang merupakan kejutan menyentuh hati semua," katanya.

Rezeki diterima Rahim itu membuktikan ketabahannya diberi ganjaran berganda yang kemudian disusuli tangisan dan senyuman sehingga menimbulkan perasaan sebak dalam kalangan wakil YAKEB.

Dalam program sebelum ini, badan kebajikan atlet tersebut dengan kerjasama IkhlasDotCom menaja ibadah umrah buat seramai lima bekas olahragawan dan olahragawti negara.

Kunjungan ke tanah suci itu turut disertai 10 individu lain yang berada dalam golongan asnaf dengan masing-masing dipilih berdasarkan saringan teliti bagi memastikan mereka benar-benar layak. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram