HANYA beberapa minggu sebelum tiba di Tanah Suci, Mazni Deraman menerima khabar yang mengejutkan apabila disyaki menghidap sakit kanser payudara.
Perkhabaran itu boleh dikatakan membuatkan hidupnya kelam sekelip mata, apatah lagi memikirkan suaminya juga yang kurang sihat untuk menyara keluarga.
Wanita kelahiran Kelantan yang kini menetap di Gombak itu merupakan antara jemaah asnaf yang ditaja sepenuhnya oleh IKHLAS.com untuk menunaikan umrah baru-baru ini.
Hajat yang dipendam untuk menjadi tetamu ALLAH sudah lama ditanam tetapi perancangan Yang Maha Mengetahui amat hebat apabila panggilan yang dibuat akhirnya tiba tepat pada waktunya.
Manakan tidak, tawaran tersebut pada awalnya diberikan pada suaminya tetapi dia ‘dipilih’ sebagai ganti memandangkan keadaan suaminya yang tidak berupaya menunaikan umrah tersebut.
Ini kerana suaminya, Zulkefli Ishal, 61, menghidap sakit kencing manis dan darah tinggi.
“Dengan izin ALLAH, suami saya dapat tawaran daripada IKHLAS.com menunaikan umrah tetapi diganti oleh saya, sekali gus membuka peluang kepada diri saya memanjatkan doa lebih dekat dengan ALLAH.
“Saya mohonkan kesembuhan. Saya disyaki menghidap kanser payudara tapi masih belum tahu tahap mana,” luah Mazni apabila ditanya doa yang paling banyak dipohon ketika mendapat peluang memasuki Raudah, Masjid Nabawi.
Mazni (dua dari kanan) dan Nor Jalila (kanan) ketika selesai menunaikan tawaf. — Ustaz Jawwad/IKHLAS.com
Tidak setakat untuk dirinya, suri rumah berusia 56 tahun itu yang tinggal bersama anaknya, turut mengirimkan doa kesembuhan untuk adik beradiknya yang kesihatannya diuji ALLAH.
Ketika berkunjung ke Masjid Quba di Madinah, Mazni juga mengambil peluang untuk beribadah selama mungkin di masjid pertama umat Islam itu dengan menunaikan solat hajat, solat dhuha dan taubat.
“Saya juga memanjatkan doa untuk keluarga supaya sentiasa sihat dan dilimpahi rezeki.
“Terima kasih IKHLAS.com atas peluang yang diberikan ini. Hanya ALLAH dapat membalas jasa mereka,” kata ibu kepada lima orang anak itu.
Bagi Nor Jalila Zainal, ujian menjadi ibu tunggal kepada enam anak lagi menguatkan azamnya untuk keluar dari kelompok asnaf.
Selepas kehilangan suami beberapa tahun lalu, hidup wanita berusia 53 tahun itu, berdepan dengan pelbagai ujian termasuk kesempitan ekonomi dan hanya bergantung kepada duit pencen arwah suaminya selain mendapat bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Para jemaah di bawah IKHLAS.com menjalani rukun tawaf ketika menunaikan umrah baru-baru ini. — Ustaz Jawwad/IKHLAS.com
Enam anak lelakinya banyak membantu Nor Jalila untuk meneruskan kehidupan tetapi dia tetap memendam rasa mahu menyumbang sesuatu kepada masyarakat.
Ternyata tawaran IKHLAS.com untuk menunaikan umrah ibarat cahaya yang dinanti-nantikan Zalinda dalam usaha mengubah hidupnya dengan memanjatkan doa kepada ALLAH di depan Kaabah.
“Ada rasa gembira ada rasa sedih apabila jejak kaki di Tanah Suci. Macam-macam yang saya fikirkan.
“Gembiranya sebab dapat jadi tetamu ALLAH. Sedihnya sebab tak sangka saya boleh sampai sini dalam keadaan kehidupan serba kekurangan.
“Sebab itu, antara doa yang saya panjatkan supaya dapat keluar dari asnaf dan mampu menjadi pembayar zakat. Insya-ALLAH,” katanya.
Mazni dan Nor Jalila antara 15 jemaah asnaf yang ditaja IKHLAS.com menerusi Program Umrah 1,000 Asnaf dengan peluang menjalani ibadah tersebut selama 9 hari 7 malam.
Program itu bermula pada Julai lalu dengan sasaran untuk menghantar 1,000 asnaf menunaikan umrah dan kini sudah memasuki kumpulan ketujuh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
