‘Keputusan yang mudah’, Garnacho tak pernah menyesal tinggalkan Man United demi Chelsea


  • Podium
  • Selasa, 09 Dis 2025

Garnacho beranggapan Chelsea merupakan kelab terbaik untuk menyambung kariernya selepas meninggalkan skuad The Red Devils. — Agensi

PEMAIN sayap Chelsea, Alejandro Garnacho menegaskan dia tidak langsung menyesal dengan keputusannya untuk meninggalkan Manchester United.

Dia sebelum ini tidak berada dalam kesebelasan utama buat skuad The Red Devils dalam perlawanan akhir Liga UEFA Europa (UEL) menentang Tottenham Hotspur.

Situasi itu merupakan antara punca di sebalik pemergiannya dari kelab yang bagaimanapun memberi peluangnya di Eropah yang kini beraksi dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

BACA LAGI: Sekali lagi dikesan bersama vape, profesionalisme Garnacho tak putus-putus dipersoal

BACA LAGI: Cecah RM362 juta, Garnacho dilepaskan Man United bakal pilih reunion bersama ETH atau sertai Chelsea

Garnacho melihat keputusannya meninggalkan Manchester United tidak meninggalkan sebarang bentuk penyesalan. — Agensi

Jadi, bercakap dalam sidang media menjelang aksi menentang Atalanta, Garnacho menekankan perpindahan tersebut tidak memberi perasaan kesal buatnya.

"Tidak, kadang-kala dalam kehidupan, anda perlu membuat perubahan untuk melangkah ke depan atau jika mahu bertambah baik sebagai pemain. Ini merupakan kelab tepat dan keputusan mudah," katanya.

Sejak mengesahkan perpindahan itu, Garnacho sudah merekodkan 14 penampilan dengan dua gol dan dua bantuan jaringan sudah direkodkan dalam tempoh tersebut.

Meskipun berdepan persaingan hebat di posisi sayap menyerang, pemain berusia 21 tahun berkenaan masih diberikan kepercayaan oleh pengurus The Blues, Enzo Maresca.

Garnacho (kanan) memiliki hubungan cukup baik bersama Maresca di Chelsea. — Agensi

"Dia menjelaskan kepada saya segala-galanya dan kini, kami bekerja bersama-sama. Saya berasakan kita bekerja baik antara satu sama lain.

"Kami akan hanya bertambah baik dari masa ke masa walaupun hanya tiga bulan bersama. Dia percaya saya dan ini merupakan perkara paling penting dalam menyuntik keyakinan," katanya.

Meskipun tempoh dihabiskan bersama Manchester United berdepan ketidaktentuan, Garnacho sempat mengecapi pelbagai kejayaan, termasuk memenangi Anugerah Puskas 2024.

Namun, disebabkan minit permainan terhad, dia kemudian memilih untuk menyertai Chelsea dalam perpindahan mencecah €45 juta (RM215.6 juta) pada jendela musim panas lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram