Sekali lagi dikesan bersama vape, profesionalisme Garnacho tak putus-putus dipersoal


  • Podium
  • Isnin, 11 Ogos 2025

Garnacho difahamkan mengamalkan gaya hidup tidak sihat yang sudah tentu memberi kesan terhadap kecergasannya.

SELEPAS dinyatakan tidak berada dalam pelan Ruben Amorim untuk musim 2024/25, Alejandro Garnacho dibenarkan untuk meninggalkan pasukan itu sebelum jendela perpindahan ditutup.

Dia yang hanya merekodkan 11 gol dan 10 bantuan jaringan dalam kesemua pertandingan buat Manchester United kelihatan tidak lagi mempunyai masa depan bersama kelab berkenaan.

Ini selepas pasukan itu membawa masuk tiga rekrut baharu di posisi serangan, termasuk Bryan Mbeumo yang boleh diturunkan sebagai pemain sayap dan menggantikan Garnacho.

BACA LAGI: No jersi bakal disarung Benjamin Sesko di Man United

BACA LAGI: ‘Dua tahun dipinjamkan JDT, harap Azam Azmi tak patah semangat’

Garnacho (kanan) dibenarkan meninggalkan Manchester United kerana tidak berada dalam pelan Amorim. Agensi

Jadi, bagi memperoleh minit permainan konsisten bagi musim 2025/26, penyerang antarabangsa Argentina itu difahamkan berminat menyertai seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea.

Meskipun skuad The Blues memiliki lambakan pilihan di posisi sayap menyerang, kehadiran pemenang Anugerah Puskas 2024 itu mampu membawa kelainan kerana dia tidak memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri.

Namun, baru-baru ini, pemain berusia 21 tahun itu terpalit dengan kontroversi yang pasti akan menyulitkan hasratnya untuk berkelana ke mana-mana kelab dalam masa terdekat.

Ini selepas sekeping foto tular memaparkan Garnacho memegang rokok elektronik ketika sedang mendapatkan tatu baharu yang menimbulkan tanda tanya berhubung tahap profesionalisme pemain itu.

Walaupun ada beranggapan penggunaan 'vape' tidak begitu memberi kesan terhadap kecergasan pemain, kesan sampingan daripadanya boleh mengundang risiko berpanjangan.

Garnacho dikesan menggunakan rokok elektronik ketika mendapatkan tatu baharu di tangannya.

Oleh itu, rata-rata peminat melihat Garnacho sememangnya tidak menjaga diri sebagai seorang atlet profesional, sekali gus menyukarkan hasratnya untuk mencari majikan baharu.

Ini juga bukan kali pertama dia dikesan menggunakan rokok elektronik kerana dua tahun lalu, dia memuat naik sekeping foto memaparkannya menonton aksi Manchester United dengan objek tersebut berada berhampiran.

Meskipun hantaran tersebut pantas dipadam, orang ramai masih sempat merekodkan perkara berkenaan dengan ia sedikit sebanyak menutup peluangnya ketika di bawah bimbingan Erik ten Hag.

Tetapi, tidak dapat dipastikan sama ada pemain tersebut pernah dikenakan sebarang tindakan atas kelakuannya itu memandangkan dia masih mengulangi kesilapan sama sehingga perkara tersebut menjadi bahan bualan ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram