Jika takut, kenapa jadi pemain Man United? — Roy Keane


  • Podium
  • Jumaat, 05 Dis 2025

Skuad kendalian Ruben Amorim berada di tangga kelapan dengan 22 mata. — Agensi

BEKAS kapten Manchester United, Roy Keane melontarkan kritikan terhadap skuad lamanya apabila mendakwa kelab itu bermain dalam ketakutan dan gagal menunjukkan aksi yang diperlukan untuk meraih tiga mata penuh.

Pasukan dengan jolokan The Red Devils berkenaan sekadar merekodkan seri 1-1 menentang West Ham United di Old Trafford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Jumaat pagi.

United terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Diogo Dalot, namun kedudukan itu tidak bertahan selepas Soungoutou Magassa menyamakan kedudukan pada minit ke-83, sekali gus meranapkan peluang Man United untuk naik ke tangga kelima liga.

BACA LAGI: Aksi Leeds United 'nyawa' terakhir, Slot salahkan Liverpool sudah hilang 'fear factor'

BACA LAGI: Nasib berbeza bintang Man United, Onana malang, Mbeumo terus cemerlang

Keputusan berkenaan turut menambah rekod hambar Man United apabila ia merupakan kali ketiga dalam lima perlawanan kelab tersebut gagal menang meskipun membuka jaringan.

Kini, skuad kendalian Ruben Amorim berada di tangga kelapan dengan 22 mata, ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga iaitu Arsenal.

Keane yang tidak pernah menyembunyikan kekecewaannya terhadap prestasi bekas pasukannya, menyifatkan persembahan United itu sebagai tidak cukup tajam dan jauh daripada standard kelab tersebut.

"Setiap kali saya menonton pasukan United ini, mereka mengecewakan. Mereka tidak cukup garang untuk menyelesaikan tugas.

"Dalam tiga atau empat perlawanan terakhir, ia sangat terdesak. Betul-betul teruk… mereka hampir bermain dengan ketakutan," katanya kepada Sky Sports.

Dalam temu bual berasingan, Dalot turut mengakui United menjadi cemas selepas mendahului West Ham, yang kini berada di tangga ke-18 liga.

Keane bagaimanapun menegaskan bahawa pemain United sepatutnya lebih bersedia dan matang dalam menguruskan tekanan.

"Sebab anda bermain untuk Manchester United adalah untuk berdepan situasi seperti ini.

"Jika mereka cemas, anda perlu risau kenapa mereka bermain untuk Manchester United. Takut kepada West Ham, kenapa?," tambahnya.

Keane memberi kritikan pedas terhadap pemain Man United. 

Keane turut menyindir mutu pertahanan pasukan itu, mengingatkan aksi United ketika menentang Crystal Palace.

"Mereka menjaringkan dua gol menentang Palace tetapi bertahan seperti pasukan pub. Ada jangkaan besar di kelab ini, dan anda perlu menghadapinya," komennya.

Manchester United seterusnya akan berdepan pasukan tercorot liga, Wolverhampton Wanderers pada Isnin dalam usaha mencari kembali rentak kemenangan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram