'Saya bukan buta, cuma tak boleh lihat', graduan OKU raih PhD, dirai bersama menteri di majlis graduasi


  • Sukses
  • Selasa, 02 Dis 2025

Steven Sim (kanan) turut hadir ke majlis graduasi UM bagi bersama meraikan kejayaan Noorilham. — The Star

STATUS diri sebagai orang kelainan upaya (OKU) tidak sesekali mematahkan semangat graduan Universiti Malaya (UM), Noorilham Ismail, 35, yang berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) baru-baru ini.

Menerusi perkongsian Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di Instagramnya, kejayaan itu turut diraikan bersama pada Majlis Konvokesyen UM ke-65, Sabtu lalu.

Tumpang gembira melihat pencapaian tersebut, Steven ternyata mengikuti perkembangan dan kisah Noorilham.

BACA LAGI: Nikah tak sah, apatah lagi jadi wali jika masih dalam ihram, mutawif pesan jemaah muda perlu cukup ilmu sebelum buat umrah DIY

BACA LAGI: Pesan ibu jadi penguat semangat, graduan asal kampung sempat abadi ucapan istimewa di pentas Universiti Harvard

Blind candidate, Dr. Noorilham Ismail, after receiving his PhD accreditation in Humanities, History & Archealogy at the Convocation Ceremony of Universiti Malaya. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Noorilham akhirnya berjaya menamatkan pengajian dan berhasrat mahu terus berkhidmat sebagai pendidik. — The Star

"Saya pernah bantu beliau dahulu ketika belajar di Amerika Syarikat (AS) dan sekarang dia telah berjaya mendapat segulung PhD.

"Sekarang Noorilham bekerja sebagai pensyarah dan akan bantu lebih ramai lagi anak muda sekarang.

"Dua tahun lepas Noorilham pernah cakap, 'saya bukan buta, saya cuma tak boleh melihat'.

"Dahulu, enam kali ditolak, hari ini beliau yang mencerah anak bangsa sebagai pensyarah UM," katanya.

Steven berkongsi bahawa beliau turut menawarkan bantuan kepada Noorilham untuk menyambung dan menamatkan pengajian tepat pada masanya.

"Pada masa itu dia terpaksa menghabiskan tesis terakhirnya di AS dan kosnya sangat mahal untuknya.

"Elaun RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sahaja yang mereka ada untuk meneruskan hidup.

"Jadi, saya berjumpa dengan Noorilham dan isterinya, Zarifah untuk memberi sedikit bantuan kewangan kepada mereka.

"Setiap bulan, saya juga beri tambahan elaun sebanyak RM1,000," jelasnya.

 

 

 

 

Pada majlis graduasi itu, beliau turut menghadiahkan Noorilham sepasang fon kepala dan jersi Manchester United yang merupakan pasukan bola sepak kegemarannya.

Berdasarkan laporan The Star, Noorilham yang hilang penglihatannya lapan tahun lalu akibat demam teruk.

Meskipun beliau mampu menulis sebahagian besar tesis sendiri, isteri tersayang, Zarifah Arsani, 31, tetap menjadi tulang belakang utama.

"Isteri saya bantu bahagian teknikal, termasuk nota kaki dan bibliografi.

"Dia juga ikut bersama ke AS dan United Kingdom (UK) pada 2023 untuk mengumpul bahan di arkib," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram