SUATU masa dahulu jaringannya dari luar kotak penalti ketika menentang kelab gergasi England, Manchester United pernah menjadi bualan seluruh negara malah dunia.
Manakan tidak, ketika itu bekas penyerang kebangsaan, Mohd Amri Yahya berjaya menewaskan penjaga gol berkelas dunia, Edwin van der Sar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2009.
Tidak terhenti di situ bekas penyerang kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu terus mengukir nama dalam kancah bola sepak negara dengan kejayaan menjulang kesemua trofi dipertandingkan di liga domestik.
BACA LAGI: Seni hijau minimalis, kenapa succulent wajar hiasi kediaman anda
Selangor FA (kini dikenali sebagai Selangor FC) dan Johor Darul Ta'zim antara pasukan yang berjaya menjulang nama Amri di pentas kebangsaan mahupun antarabangsa.
Kini, bekas pemain berusia 44 tahun itu giat beraksi bersama kelab-kelab amatur di kejohanan liga sosial selepas kali terakhir beraksi secara profesional bersama PT Athletic pada tahun lalu di Liga A1 Semi-Pro.
Tidak seperti bekas pemain lain yang memilih untuk menjadi jurulatih atau hos rancangan sukan, Amri lebih selesa beralih ke industri hartanah.
Menerusi perkongsian Vigor Properties Malay Wing di Facebook, Amri dilihat sudah menjadi ejen hartanah dalam menguruskan setiap urusan pembelian atau sewa kepada pemilik baharu.
Video yang berdurasi hampir empat minit itu, kelihatan Amri tidak kekok dan bersahaja menerangkan setiap fungsi serta kelebihan tentang kediaman yang ingin dibeli oleh pemilik baharu.
Walaupun separuh daripada hidupnya dihabiskan di atas padang, Amri berjaya menarik minat ramai untuk melihat caranya menjelaskan kelebihan unit rumah tersebut.
Lebih dikenali sebagai ejen Wak Am, bekas pemain bola itu kini dalam fasa untuk menjual sebuah unit apartment yang baharu sahaja selesai renovasi di Bandar Sunway, Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
