
PENYERANG sayap muda Manchester United, Alejandro Garnacho dilaporkan sudah bersetuju untuk mencari kelab baharu pada jendela perpindahan musim panas ini selepas dimaklumkan bahawa dia tidak termasuk dalam perancangan pengurus baharu, Ruben Amorim.
Keputusan itu hadir selepas musim mengecewakan United yang berakhir tanpa pencapaian signifikan, dengan Amorim mula melakukan rombakan besar-besaran dalam usaha membina semula skuad yang bergelut dalam semua kejohanan utama.
Menurut pakar perpindahan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano berkongsi bahawa kedua-dua pihak, Garnacho dan Manchester United sudah mencapai kata sepakat untuk berpisah menjelang musim baharu.
BACA LAGI: Disebut ke kelab Manchester, Liverpool sedia 'sailang' minit akhir bintang Bayer Leverkusen
BACA LAGI: Manchester United dah jumpa pengganti Andre Onana
Amorim dikatakan sudah memberitahu pemain antarabangsa Argentina itu bahawa Garnacho bebas mencari kelab baharu, susulan kritikan terhadap tahap latihannya sebelum ini.
Beberapa kelab dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dilaporkan menunjukkan minat terhadap pemain berusia 20 tahun itu, termasuk Chelsea yang pernah memburunya sebelum ini.
Di peringkat Eropah pula, Bayer Leverkusen serta beberapa kelab Itali turut tersenarai sebagai destinasi berpotensi. United dipercayai menetapkan tanda harga sekitar £60 juta (RM362 juta) bagi pemain tersebut.
Garnacho mula mencuri tumpuan selepas membuat penampilan sulung bersama skuad utama The Red Devils pada 2022 di bawah kendalian Erik ten Hag. Dia menjadi sebahagian daripada skuad yang menjuarai Piala Carabao dan Piala FA serta membantu Argentina menjuarai Copa America 2024.
Garnacho dikaitkan akan bergabung semula bersama Ten Hag di Leverkusen. — Agensi
Dikenali kerana kepantasan dan kemahiran individu, Garnacho mengukuhkan kedudukan dalam kesebelasan utama sejak musim 2023, dengan mencatat 36 penampilan liga dalam dua musim berturut-turut.
Namun, produktivitinya di hadapan gawang masih terbatas, apabila tidak pernah melepasi angka dua digit dalam jaringan EPL.
Ketegangan antara Garnacho dan pengurus baharu mula tercetus apabila dia bersama Marcus Rashford, digugurkan daripada skuad untuk perlawanan derbi Manchester pertama Amorim. Rashford kemudian dipinjamkan ke Aston Villa, manakala Garnacho gagal menyesuaikan diri dalam sistem taktikal baharu.
Dalam perlawanan akhir Liga Europa menentang Tottenham Hotspur, Garnacho hanya beraksi sebagai pemain gantian dan kemudiannya menyifatkan musim tersebut sebagai 'sampah' di media sosial.
Amorim difahamkan mahu merombak skuad Man United dengan membawa masuk pemain pilihannya. — Agensi
Kenyataan itu dikatakan turut menyumbang kepada keputusannya disisihkan daripada skuad untuk perlawanan terakhir liga menentang Aston Villa.
Kini, Bayer Leverkusen dilihat sebagai destinasi berpotensi bagi Garnacho, apatah lagi dengan Ten Hag dilaporkan akan menggantikan Xabi Alonso sebagai pengurus kelab Jerman itu.
Manchester United pula telah memulakan langkah pembaharuan dengan menandatangani bekas penyerang Wolves, Matheus Cunha, bagi memperkuatkan jentera serangan ketika Amorim menyusun semula pasukan untuk menghadapi musim baharu yang lebih mencabar. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram