Bapa Nurin Jazlin minta tolong 'edit' gambar, mahu abadi kenangan bersama anak tersayang


  • Massa
  • Jumaat, 05 Dis 2025

Keluarga Nurin Jazlin (gambar kecil) mahu mengabadikan memori di samping Allahyarhamah selepas hampir 20 tahun pemergiannya.

KES penculikan dan pembunuhan kanak-kanak berusia lapan tahun, Allahyarhamah Nurin Jazlin Jazimin yang berlaku pada 2007 masih segar di ingatan sehingga hari ini.

Budak kecil itu pada awalnya dilaporkan dilarikan individu tidak dikenali pada Ogos tahun tersebut ketika hendak ke pasar malam berhampiran kediamannya sekitar Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Semakan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian memaparkan arwah ditarik ke dalam sebuah van putih pada malam kehilangannya.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak peduli 'off day', paramedik guna jaket kulit selamatkan budak perempuan 7 tahun

BACA LAGI: Alhamdulillah, budak perempuan hilang lepas Asar di Makkah sejak Sabtu sudah disatukan bersama keluarga

Jenazah Allahyarhamah ditemukan dalam beg selepas kira-kira sebulan hilang.

Usaha mengesan kanak-kanak itu bagaimanapun tidak berjaya dengan jenazahnya akhirnya ditemukan dalam sebuah beg yang ditinggalkan sekitar Petaling Jaya, Selangor kira-kira sebulan selepas diculik.

Hasil bedah siasat mendapati Nurin menjadi mangsa dera apabila tidak diberi makan dan minum selain terdapat timun serta terung ditemukan dalam kemaluannya.

Meskipun sudah hampir 20 tahun kes tersebut berlaku, insiden berkenaan masih menjadi buah mulut orang ramai yang sedih memikirkan nasib kanak-kanak terbabit.

Malah, Allahyarhamah juga sukar dilupakan keluarganya sendiri apabila pada Jumaat, Jazimin Abdul Jalil yang merupakan bapanya meminta jasa baik orang ramai untuk mengabadikan memori mereka sekeluarga.

Antara foto dihasilkan pengguna Facebook seperti mana diminta bapa Allahyarhamah.

Dalam satu hantaran menerusi akaun Facebook Jazimin AO, individu itu mengharapkan mana-mana pengguna media sosial agar menyunting foto mereka bersama.

"Salam kenal semua ya. Minta tolong 'edit' jadikan satu gambar, terima kasih. Satu lagi sesiapa yang cerdik pandai, boleh jelaskan nombor pendaftaran?" tulisnya.

Hantaran itu dibuat berserta kepingan gambar Jazimin di samping isterinya serta dua foto Allahyarhamah Nurin yang diambil sebelum tragedi tersebut berlaku.

Perkongsian berkenaan menerima respons cukup baik daripada pengguna Facebook lain dengan ada daripada mereka memenuhi permintaan bapa kepada Allahyarhamah.

Selain itu, ada yang sempat menzahirkan rasa simpati buat keluarga berkenaan atas kehilangan insan tersayang dalam kes penuh tragedi sebegitu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram