[VIDEO] Mat Salih cuba pecah masuk kereta, wanita berdepan saat cemas ketika tunggu tunang di Bangsar


  • Tular
  • Jumaat, 05 Dis 2025

Tangkap layar lelaki itu menghampiri kenderaannya sebelum cuba membuka pintu kereta wanita berkenaan.

DETIK cemas dialami seorang wanita di kawasan LRT Bangsar, Kuala Lumpur pada pukul 7.44 malam pada Khamis apabila seorang lelaki warga asing dipercayai pelancong cuba memecah masuk keretanya ketika dia sedang menunggu tunangnya.

Perkara berkenaan dikongsikan menerusi hantaran pengguna Threads, @dimebydimee, pada Jumaat yang turut memuat naik beberapa video memaparkan gelagat lelaki berkenaan.

Menurut wanita berkenaan, lelaki tersebut kelihatan menghampiri kenderaannya sebelum cuba membuka pintu kereta menggunakan tangan tanpa sebarang peralatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Lain 'padang' bukan penghalang, pelancong selamba berbahasa Melayu minta arah di Itali

BACA LAGI: Dua putera raja Johor kongsi pengalaman sebagai pelumba JMR, beri inspirasi kepada lebih 200 pelajar IPT terokai bidang permotoran, automotif

"Please be aware of this guys. Dia cuba memecah masuk kereta saya ketika saya menunggu tunang. Walaupun saya membunyikan hon berkali-kali dan menjerit, dia langsung tidak berganjak. Saya menggigil sepanjang kejadian itu," tulisnya.

Tambahnya, kejadian berkenaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya tunangnya tidak tiba tepat pada masanya.

"Alhamdulillah tunang saya sampai cepat sebelum dia sempat buat apa-apa. Nasib baik dia tak cuba buka pintu guna apa-apa alat tapi hanya menggunakan tangan," jelasnya.

Dalam video kedua, tunang wanita berkenaan dilihat berdepan secara lisan dengan lelaki itu sambil mangsa menekan hon berulang kali untuk menghalau individu berkenaan.

Hantaran berkenaan kemudian tular dan mendapat perhatian pengguna Threads yang mendakwa lelaki sama pernah menimbulkan masalah di sekitar Bangsar.

"Saya nampak dia di LRT Bangsar hampir pukul 9 pagi tanpa memakai seluar. Saya tertanya… adakah dia sebenarnya tak pakai apa-apa, atau dia pakai seluar pendek yang saya tak perasan," kata @ryujeee_.

"Cara terbaik adalah menghantarnya pulang keluar dari negara kita," kata seorang lagi pengguna, @aliawatialsagoff yang menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap lelaki tersebut.

Sementara itu, @kerusisepi mendakwa situasi sebegitu sering dilakukan oleh pelancong tertentu sebagai taktik untuk dihantar pulang secara percuma oleh pihak berkuasa.

Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai identiti atau status lelaki itu, namun orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika berada di kawasan awam. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram