[VIDEO] 'Ya ALLAH, peliharalah kami', ramai kongsi detik cemas harung banjir di KL


  • Massa
  • Khamis, 04 Dis 2025

Beberapa kawasan sekitar Lembah Klang terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat yang berterusan.

HUJAN lebat berterusan menyaksikan beberapa kawasan sekitar Lembah Klang, termasuk di Kuala Lumpur terkesan akibat banjir kilat pada Khamis.

Dalam beberapa video dimuat naik di media sosial, kelihatan orang ramai terpaksa meredah air banjir kerana beberapa jalan utama terputus.

Banjir kilat itu turut mengakibatkan detik cemas buat pengguna jalan raya, termasuk Zul Ishak yang menceritakan pengalaman ketika bencana alam berkenaan di Gombak, Selangor.

BACA LAGI: Gua Damai, Batu Arang dan Selayang bakal pacu misi Gombak-Hulu Langat Geopark capai pengiktirafan UNESCO

BACA LAGI: [VIDEO] Kes lori terbakar di Gombak, tiba masanya ‘buka mata’ atasi insiden babit kenderaan berat

Menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadinya, dia berkongsi bagaimana hujan lebat mencurah mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

"Sampai di simpang masuk rumah, banjir kilat! Dah ada kereta yang sudah sangkut dalam air banjir. Cuba ambil jalan alternatif, tetapi jalannya mendaki tinggi.

"Dengan hujan mencurah, air mengalir deras, jalan licin. Tayar van berpusing tanpa cengkaman, tak mampu mendaki. Malah kereta hampir menggelongsor ke belakang. Dalam saat itu, hanya mampu berdoa dalam hati, 'Ya ALLAH, peliharalah kami," katanya.

Doa diucapkan dalam hati tersebut mengelak situasi lebih buruk berlaku dengan pemilik akaun tersebut dapat kembali mengawal kenderaannya.

Hantaran berkenaan dibuat berserta beberapa video yang sempat dirakam ketika melalui kawasan terkesan akibat banjir sehingga menenggelamkan rumah dan kenderaan.

Pengguna media sosial lain turut sempat berkongsi detik cemas ketika berdepan bencana alam itu sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda.

"Saya duduk Padang Balang, Gombak. Ya, air masuk ke dalam rumah. Laju ya ia masuk, rumah kami tidak pernah dimasuki air. Hari ini dalam sejarah masuk sehingga paras buku lali," kata Tiara Airis Shop 2.

"Hujan selebat-lebatnya sejak pukul 4 petang tadi. Banyak tempat air dah naik. Hati-hati semua, sentiasa berjaga-jaga," kata Nur Ainun Awang Jati.

Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian banjir yang melanda kawasan sekitar KL dan Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram