VAR jarak jauh: MFL wajib guna saluran komunikasi, sistem transmisi terbaik jika enggan 'memalukan' pengadil


  • Podium
  • Isnin, 28 Jul 2025

Pekan mengingatkan agar pasukan teknikal tetap ditempatkan di lokasi perlawanan bagi memastikan kelancaran operasi siaran langsung.

APA agaknya reaksi pengadil berdepan ribuan penyokong di stadium jika Video Bantuan Pengadil (VAR) bermasalah gara-gara tiada line dan masalah teknikal? Malu besar mungkin.

Cuma, terlalu awal untuk memberikan pandangan skeptikal berhubung perkara itu. Orang kampung kata, belum cuba belum tahu.

Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan pelaksanaan sistem VAR secara jarak jauh oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai langkah bijak dan kos efektif, namun memerlukan sokongan teknikal serta infrastruktur komunikasi yang mantap.

Baru-baru ini, badan pengelola bola sepak tanah air itu dilaporkan merancang untuk mengendalikan sistem VAR dari pusat data yang berpusat di Kuala Lumpur, manakala hanya pengadil di padang akan berada secara fizikal di stadium perlawanan yang berlangsung khususnya di Borneo.

Mengulas mengenai perkara itu, Pekan berkata, pendekatan tersebut mampu mengurangkan beban logistik, khususnya melibatkan kos penerbangan dan penginapan pegawai VAR.

BACA LAGI: Remote VAR: Kos efektif namun ada isu termasuk ‘delay-buffering’ — Pekan Ramli

BACA LAGI: [VIDEO] Lebih 300 peserta meriahkan Treasure Trail 2025 anjuran Affin Group

Skrin VAR yang kini berada di tepi padang Stadium Likas. Facebook/Sabah FC

“Pelaksanaan kaedah ini adalah bijak dan kos efektif kerana ia dapat mengurangkan keperluan logistik yang tinggi,” katanya kepada Majoriti.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa kejayaan sistem berkenaan bergantung sepenuhnya kepada kualiti transmisi dan kestabilan saluran komunikasi yang digunakan.

Remote VAR bukan perkara baharu. Bundesliga sudah melaksanakannya sejak 2017 dengan pusat kawalan VAR terletak di Cologne.

“Sebagai contoh, perlawanan antara Bayern Munich dan Bayer Leverkusen yang berlangsung di Allianz Arena, sejauh lebih 350 kilometer dari pusat tersebut, tetap berjalan lancar tanpa isu isyarat.

“Jika MFL mampu menggunakan sistem transmisi berkualiti tinggi serta memilih saluran komunikasi atau ‘network’ yang tersohor, teknologi remote VAR dijangka tidak akan berdepan sebarang masalah besar,” tambah beliau.

Walau bagaimanapun, Pekan turut mengingatkan agar pasukan teknikal tetap ditempatkan di lokasi perlawanan bagi memastikan kelancaran operasi siaran langsung.

“MFL perlu pastikan pasukan teknikal yang bertanggungjawab berada di stadium untuk membantu penerbit siaran semasa perlawanan berlangsung,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa sebarang kelewatan isyarat (delay atau buffering) boleh menjejaskan keputusan perlawanan, namun perkara ini boleh diatasi dengan penggunaan peralatan dan sambungan yang berkualiti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram