SKUAD Sang Penyu perlu memanfaatkan aksi di laman sendiri bagi saingan Liga Super akan datang dalam usaha merebut semula tempat dalam kelompok tiga teratas.
Namun, ujian besar menanti Terengganu FC apabila mereka akan menerima kunjungan Kuching City FC pada Jumaat yang kini berada dalam prestasi cemerlang.
Pertemuan sebelum ini turut menyebelahi skuad The Cats yang menumpaskan kelab Pantai Timur itu dengan keputusan 4-1 dalam suku akhir pertama Piala FA 2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.
BACA LAGI: [VIDEO] Latihan di Kuching City jadikan Haziq Nadzli persis David Raya
BACA LAGI: Ramai rakan JDT di Kuching antara faktor Syafiq Ahmad kembali bernyawa dalam Liga M

Skuad The Cats tidak berdepan masalah dalam kunjungan terakhir ke Terengganu. — Facebook/Kuching City FC
Ini merupakan satu cabaran hebat buat anak-anak buah Badrul Afzan Razali yang perlu menampilkan aksi terbaik jika mahu meraih tiga mata penuh.
Malah, perlawanan berkenaan turut hadir dengan ujian tersendiri buat Terengganu FC memandangkan terdapat segelintir pemain lawan yang pernah beraksi di Pantai Timur sebelum ini.
Meskipun ada daripada mereka tidak sempat beraksi untuk tempoh panjang, waktu dihabiskan bersama pasukan itu sudah membantu masing-masing untuk mengetahui selok-belok kelab berkenaan.
1. Jordan Mintah
Nama pertama yang pasti melintas fikiran peminat bola sepak tanah air sekiranya membincangkan mengenai Kuching City FC dan Terengganu FC sudah tentu merupakan Jordan Mintah.
Dia yang terlebih dahulu mencipta nama bersama skuad Sang Penyu tidak pernah diberi kepercayaan sepenuhnya untuk mengemudi barisan hadapan pasukan.
Menyedari peluang sukar itu, pemain naturalisasi negara baharu tersebut memilih untuk berkelana ke Borneo tanah air pada musim 2024/25 dan menyertai skuad The Cats.

Mintah kelihatan lebih selesa sepanjang bersama skuad The Cats. — Facebook/Kuching City FC
Keputusan berkenaan jelas membuahkan hasil kerana pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memberi peluang lebih kerap buat Mintah.
Meskipun musim ini dia sukar merebut tempat dalam kesebelasan utama, pengalaman penyerang berusia 30 tahun terbabit masih membawa perbezaan setiap kali diturunkan.
Jadi, sekiranya pemain kelahiran Ghana itu diturunkan, benteng pertahanan Terengganu FC perlu lebih peka dalam mengekang pergerakannya.
2. Arif Fadzilah
Sepanjang kira-kira empat musim beraksi di negeri kelahirannya, Arif Fadzilah sukar mengukuhkan tempat sebagai bek kiri utama pasukan.
Ini kerana konsistensi Alif Zakaria membuatkan barisan kejurulatihan sukar menggugurkan pilihan utama berkenaan sehingga mengehadkan minit permainan Arif.
Dia kemudiannya memilih untuk menyertai Kuching City FC secara pinjaman bagi kempen 2024/25 sebelum kedua-dua pihak memeterai perpindahan kekal buat pertahanan berusia 29 tahun itu.

Peluang terhad mendesak Arif Fadzilah menyertai skuad The Cats. — Facebook/Kuching City FC
Tetapi, peluangnya masih sedikit terhad setakat ini memandangkan Aidil Sharin lebih gemar menggunakan khidmat Scott Woods di posisi itu.
Penggiliran berkemungkinan boleh dilakukan kerana Kuching City FC berdepan jadual padat baru-baru ini, sekali gus membuka peluang untuk Arif berada dalam kesebelasan utama.
Pengalamannya di Pantai Timur juga akan menjadi asbab untuknya memulakan perlawanan dalam usaha pasukan pelawat mengekang gerakan Terengganu FC dibintangi Akhyar Rashid, Gabriel Silva dan Careca.
3. Petrus Shitembi
Semasa musim 2022, Petrus Shitembi memainkan peranan penting buat Terengganu FC dalam mengawal tempo permainan dan mencipta peluang menerusi hantaran tepatnya.
Ini dibuktikan dengan 11 bantuan jaringan dan satu gol dijaringkan daripada 19 penampilan secara keseluruhan yang menceritakan kepentingannya dalam pasukan.
Namun, pada musim berikutnya, pemain kebangsaan Namibia itu tidak dikekalkan sehingga menyaksikannya bergelar ejen bebas untuk lapan bulan.

Shitembi memilih skuad The Cats selepas lapan bulan tidak terikat dengan mana-mana kelab. — Facebook/Kuching City FC
Menyedari kualiti dimilikinya, Kuching City FC kemudian menandatanganinya pada pertengahan kempen 2023 yang pantas menjadikannya nadi utama pasukan.
Peranan pentingnya buat skuad The Cats diteruskan sehingga hari ini apabila dia sudah beraksi dalam 14 perlawanan, termasuk dalam saingan Piala FA.
Kehadirannya sudah tentu dapat mengucar-ngacirkan tembok pertahanan Terengganu FC, lebih-lebih lagi sekiranya tiada usaha diambil untuk menutup ruang dimilikinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
