Kim Swee tinggalkan Persik Kediri, Terengganu dan Sabah wajar segera 'buka tangan'


  • Podium
  • Khamis, 27 Nov 2025

Kim Swee mempunyai rekod yang baik sepanjang melatih dua kelab di Indonesia. — Facebook/Persik Kediri

KARIER kejurulatihan pengendali berpengaruh, Datuk Ong Kim Swee di Indonesia menemui titik noktah selepas dia meninggalkan Persik Kediri pada Khamis.

Dalam kenyataan dikeluarkan kelab itu, jurulatih berusia 54 tahun itu mengambil keputusan demikian kerana mahu kembali ke tanah air atas alasan masa depan dan keluarga.

"Persik Kediri sah berpisah dengan ketua jurulatih, Ong Kim Swee. Keputusan ini diambil setelah kedua-dua pihak sebulat suara untuk mengakhiri kerjasama.

BACA LAGI: Situasi makin genting, Sabah perlu lakukan segalanya demi pikat semula Ong Kim Swee

BACA LAGI: Skuad Sumandak tunjuk belang, The Rhinos 'hilang tanduk' tanpa Kim Swee

"Ini seiring dengan perancangan Kim Swee yang akan mengambil kesempatan baharu di Malaysia serta mempertimbang alasan keluarga," tulisnya.

Jurulatih kelahiran Melaka itu menyertai Persik Kediri pada Jun lalu selepas sebelum itu membantu sebuah lagi kelab Indonesia, Persis Solo mengelak penyingkiran ke divisyen kedua.

Impak ditinggalkan di negara jiran juga cukup memberangsangkan apabila dia merekodkan 10 kemenangan, 11 keputusan seri dan 14 kekalahan sepanjang tempoh itu.

Statistik berkenaan membuatkan beberapa pasukan tempatan tertarik akan khidmatnya, terutamanya Terengganu FC dan Sabah FC yang bergelut musim ini.

Sabah FC dan Terengganu FC dilaporkan berminat dengan khidmat Kim Swee. Facebook/Terengganu FC

Skuad Sang Penyu dilaporkan sedang dalam usaha mencari jurulatih baharu bagi menggantikan Badrul Afzan Razali berikutan prestasi tidak menentu.

Tetapi, khabar angin itu sudah ditepis pengendali berkenaan dengan menyatakan tiada sebarang rundingan dibuat antara kedua-dua pihak.

Bagi Sabah FC pula, kepulangannya ke kelab Borneo tanah air itu amat dialu-alukan kerana mereka berdepan kemelut luar biasa di dalam padang.

Selepas sembilan aksi Liga Super, skuad Sang Badak hanya merekodkan satu kemenangan yang menyaksikan mereka kini di kedudukan kesembilan.

Meskipun melangkah ke separuh akhir Piala FA, pencapaian itu belum cukup memuaskan penyokong yang mahu ketua jurulatih, Jean-Paul de Marigny ditunjukkan jalan keluar.

Perebutan kedua-dua kelab Liga Super itu sememangnya menarik untuk disaksikan kerana sentuhan Kim Swee diyakini mampu membawa perubahan segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram