DERITA Sabah FC dalam Liga Super tidak menampakkan sebarang tanda-tanda akan berakhir selepas tumpas kepada Selangor FC pada Sabtu.
Kekalahan itu menjadikan kelab Borneo itu masih belum menang sebarang perlawanan Liga Super selepas lapan aksi.
Ia menjadikan pengendali, Jean-Paul de Marigny semakin hilang punca dan bagi penyokong, rindu mereka terhadap bekas pengendali iaitu Datuk Ong Kim Swee semakin menebal.
BACA LAGI: 'Prestasi macam terbantut di Selangor, nak tunggu apa lagi Aliff Haiqal?'
BACA LAGI: Masih di Malaysia, pemain warisan setia menanti keputusan rayuan FIFA
Bukan pencabar
Ketika ini, Kim Swee meneruskan kariernya di Indonesia bersama-sama Persik Kediri dalam saingan Liga Super Indonesia.
Menduduki tempat ke-10 selepas 10 perlawanan, Kim Swee dan Persik dilihat jauh ketinggalan dalam usaha mengejar mahkota kejuaraan atau cuba meraih slot Asia.

Kim Swee masih bersama Persik Kediri. — Agensi
Lebih baik sekiranya Kim Swee kembali semula ke Malaysia terutamanya Sabah untuk membaiki semula kelab lamanya sekali gus cuba meletakkan mereka sebagai pencabar Liga Super sekali lagi.
Penyokong nyata menerima baik sekiranya Kim Swee kembali semula dek kerana popularitinya di Likas.
Tiada impak
Jika dikira dengan persembahan semasa di Piala FA, De Marigny boleh dikatakan berjaya memastikan skuad Badak mara jauh sehingga ke separuh akhir.
Namun begitu, itu adalah tugasan kedua sebaliknya perkara lebih penting adalah persembahan dalam Liga Super dan jurulatih tersebut gagal memberikan impak.

Tiada impak positif ditonjolkan oleh De Marigny setakat ini. — Agensi
Dengan tanpa menang setakat ini, Sabah seharusnya malu dengan DPMM FC yang sudah berjaya menang walaupun duduk di bawah mereka dalam kedudukan liga.
De Marigny harus berbuat sesuatu, jika tidak penyokong akan terus menjauhkan diri daripada datang ke stadium.
Ramai pemain lama
Salah satu perkara yang boleh membuatkan Kim Swee kembali semula ke pangkuan Sabah adalah faktor skuad yang masih serupa seperti dulu.
Skuad Sabah ketika ini masih lagi dibarisi oleh nama-nama yang menjadi tunjang semasa Kim Swee menguruskan mereka.

Stuart Wilkin antara pemain era Kim Swee yang masih bersama Sabah. — Agensi
Pemain seperti Khairul Fahmi Che Mat, Stuart Wilkin serta Dominic Tan masih bersama Sabah dan itu sudah memudahkan Kim Swee untuk merencana strateginya jika kembali.
Namun begitu, mahukah dia? Jika Sabah benar ingin dia kembali, mereka harus lakukan segalanya untuk bawa Kim Swee pulang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
