HARAPAN menggunung Melaka FC untuk memberi saingan dalam Liga Super 2025/26 tidak kesampaian kerana sehingga hari ini, pasukan itu belum meraih sebarang kemenangan.
Ini disebabkan rata-rata daripada tonggak skuad Hang Tuah mengalami tempoh mengecewakan, terutamanya Azim Rahim yang sepatutnya tidak berdepan masalah.
Dia yang beraksi cemerlang sepanjang bermusim-musim dalam pertandingan anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) berdepan masalah besar untuk menyesuaikan diri kali ini.

Ketajaman Azim Rahim membantu skuad Hang Tuah muncul juara Liga A1 Semi Pro musim lalu. — Facebook/AFL
Daripada enam penampilannya setakat ini, penyerang yang turut dikenali sebagai Balo itu hanya mencetak satu gol yang ironinya hadir ketika Melaka FC tewas 1-7 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).
Rekod itu jelas mengecewakan daripada apa pernah dilakar pada musim-musim sebelum ini, termasuk ketika dia membawa pulang Anugerah Kasut Emas Liga A1 Semi Pro 2024/25 dengan 22 gol dijaringkan.
Bagaimanapun, masalah dihadapi Azim Rahim itu bukanlah kali pertama disaksikan kerana sudah beberapa kali penyerang prolifik dalam liga bawahan menghadapi kesukaran di divisyen teratas.
1. Ilija Spasojevic
Sebelum Balo, terdapat seorang lagi penyerang skuad Hang Tuah yang menampilkan dalam divisyen bawahan, iaitu Ilija Spasojevic dengan 24 gol dilakar dalam 20 penampilan Liga Perdana 2016.
Pulangan itu membantu pasukan yang dikenali sebagai Melaka United mengungguli kedudukan teratas carta, sekali gus layak ke divisyen teratas bola sepak tempatan.

Ilija menghabiskan tempoh cukup prolifik dalam Liga Perdana bersama Melaka United.
Momentum cemerlang tersebut diharapkan penyokong mampu diulangi memandangkan kelab terbabit sudah tidak lama beraksi dalam Liga Super.
Tetapi, harapan itu tidak kesampaian apabila penyerang antarabangsa Montengero tersebut hanya sempat bertahan separuh musim setelah hanya merekodkan tiga gol dalam sembilan penampilan.
Penyerang tersebut kemudian berkelana ke Indonesia dan menyertai Bhayangkara pada 2017 sebelum menghabiskan enam musim bersama Bali United dan akhirnya menggantung but bersama Bhayangkara.
2. Nurshamil Abd Ghani
Rekod cukup baik ditampilkan penyerang tempatan, Nurshamil Abd Ghani ketika bersama Kelantan FC dalam Liga Perdana 2022 dengan sembilan gol direkodkan.
Pulangan itu menyaksikan anak jati Melaka berkenaan membawa pulang Anugerah Kasut Emas bagi kategori pemain tempatan dengan namanya diletakkan sebaris dengan tonggak JDT II, Daryl Sham.

Nurshamil sepatutnya membantu skuad TRW bersaing dalam Liga Super 2023. — Facebook/Kelantan FC
Malah, catatan cemerlang tersebut menyaksikan skuad The Red Warriors (TRW) menamatkan saingan di tangga kedua dan layak ke Liga Super 2023.
Tetapi, dalam divisyen teratas bola sepak tanah air, Nurshamil gagal mengulangi pencapaian itu apabila tidak diberi minit permainan mencukupi.
Peluang terhad itu kemudian membuatkan pemain itu bergelut untuk meninggalkan impak dengan tiada sebarang gol Liga Super direkodkan sebelum dia berkelana ke Kuching City FC.
3. Farhod Tadjiyev
Peminat bola sepak di Terengganu pasti tidak boleh melupakan keberadaan T-Team yang pernah mewarnai arena bola sepak di negeri itu selama kira-kira 10 tahun bermula 2006.
Ini kerana kelab berkenaan pernah dibarisi pemain import berbakat, seperti Farhod Tadjiyev dari Uzbekistan yang menjadi nadi utama pasukan dalam Liga Perdana.
Malah, ketika dalam divisyen kedua pada 2015, penyerang itu meledak 15 gol liga yang meletakkannya hanya di belakang Francis Forkey Doe dan Gabriel Guerra dalam senarai penjaring terbanyak.

Farhod sempat beraksi selama semusim dalam Liga Super bersama T-Team.
Pulangan itu jelas memberi impak besar apabila T-Team layak ke aksi play-off untuk kembali ke Liga Super sebelum dia kembali ke Uzbekistan dan menyertai Olmaliq FK.
Bagaimanapun, rasa rindu kepada Pantai Timur membuatkan Farhod sekali lagi menyertai T-Team pada 2017 dengan harapan impak besar dapat diteruskan.
Meskipun kepulangannya dialu-alukan peminat, penyerang itu hanya sempat meledak lima gol daripada 12 penampilan Liga Super yang menceritakan perbezaan tahap di antara kedua-dua liga berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
