TFC sudah bayar tunggakan gaji sebelum FIFA jatuhkan hukuman


  • Podium
  • Selasa, 25 Nov 2025

TFC sudah menghantar surat kepada FIFA agar hukuman ditarik balik.

KELAB Liga Super, Terengganu FC (TFC) mengesahkan yang mereka sudah pun menyelesaikan tunggakan gaji pemain import mereka musim lalu sebelum dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

TFC mengeluarkan kenyataan tersebut selepas FIFA menghukum mereka pada Jumaat lalu susulan isu tunggakan gaji.

Hukuman yang dikenakan oleh FIFA terhadap TFC adalah larangan membawa masuk pemain baharu untuk tiga jendela perpindahan. 

BACA LAGI: Dihukum FIFA sejak Jumaat, Terengganu 'dibekukan' sepanjang 3 jendela perpindahan pemain

BACA LAGI: Derita Sang Badak bertambah, kini dalam senarai sekatan perpindahan FIFA lepas dibedal JDT

"Untuk makluman, TFC telah membuat pembayaran kepada pemain import musim lepas tersebut lebih awal sebelum FIFA mengeluarkan keputusan rasmi.

"Tindakan ini diambil sebagai komitmen kelab untuk menyelesaikan perkara berkenaan dengan cepat dan teratur," kata TFC.

Sehubungan dengan itu, TFC mengatakan yang mereka sudah menulis kepada FIFA berkenaan tunggakan sudah dilunaskan.

TFC berharap dengan tindakan itu membolehkan FIFA menarik semula hukuman yang dikenakan terhadap mereka.

"Pada masa ini, TFC masih menunggu maklum balas rasmi daripada FIFA dan akan mematuhi sebarang keputusan yang ditetapkan mengikut peraturan yang berkuat kuasa.

"Kelab akan berkongsi perkembangan terbaru sebaik menerima keputusan daripada FIFA," ujar TFC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram