SELANGOR FC mengejutkan dunia bola sepak tanah air apabila mengumumkan penamatan kontrak Toni Domgjoni secara serta-merta hanya kurang sebulan selepas pemain tengah import itu diumumkan menyertai pasukan.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Rabu, Selangor FC menjelaskan keputusan menamatkan kontrak dibuat atas persetujuan bersama selepas Toni Domgjoni dikatakan menghadapi 'isu kesihatan dan hal keluarga' sejak tiba di Malaysia.
Menurut kenyataan itu, keadaan tersebut menghalangnya mengikuti latihan penuh serta memberi komitmen sepenuhnya bersama skuad.
BACA LAGI: Tak sempat keluar peluh, import Selangor FC tinggalkan kelab
Domgjoni, 27, yang berasal dari Kosovo dan pernah beraksi di Eropah dilaporkan gagal memperoleh sebarang minit permainan bersama Selangor, sekali pun misi kedatangannya adalah untuk menguatkan jentera tengah pasukan dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2).
Dengan kekosongan yang ditinggalkan, kini Selangor terpaksa menilai semula perancangan jendela perpindahan akan datang bagi memastikan jentera tengah kekal mantap terutamanya apabila berbaki saingan besar di ACL2 dan cabaran domestik.
Situasi itu sekali lagi mencerminkan realiti sukar boleh berlaku dalam kancah bola sepak tempatan, yang mana faktor luar padang kesihatan dan hal peribadi mampu menggugat perancangan kelab dan impian pasukan.
Namun, keputusan seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam kancah bola sepak tempatan sebelum ini terdapat beberapa kelab pernah melakukan tindakan serupa.
1. Nicolao Cardoso
Johor Darul Ta'zim FC (JDT) pada awalnya menampilkan Cardoso sebagai penyerang sayap baharu tetapi kehadirannya di Iskandar Puteri ternyata sekadar persinggahan.
Walaupun memiliki pengalaman antarabangsa dan pernah beraksi di kelab Eropah seperti SSC Napoli, serta singgah di beberapa pasukan lain di Asia dan Eropah, Cardoso tidak pernah mencatat sebarang penampilan rasmi bersama JDT.
Bersaing sengit di posisi sayap, Cardoso gagal menembusi kesebelasan utama, lalu dipinjamkan ke PSS Sleman pada Julai 2024.

Nicolao dipinjamkan ke KL City untuk kempen musim ini. — Facebook/KLCityFC
Sepanjang 28 penampilan di PSS Sleman, Cardoso berjaya menjaringkan enam gol serta menyumbang dua bantuan jaringan, sumbangan yang walaupun tidak mengagumkan, mencerminkan peningkatan kepercayaan selepas tempoh tanpa minit rasmi di JDT.
Setelah tamat tempoh pinjaman di Indonesia, Cardoso kini beraksi bersama Kuala Lumpur City FC menurut Transfermarkt.
Namun, sehingga kini dia hanya sempat mencatat satu gol setakat 10 penampilan menandakan perjuangan yang masih belum menentu di pentas Liga Malaysia.
2. Vinicius Leonel
Penyokong tegar Negeri Sembilan FC (NSFC) mungkin masih mengingati nama Vinicius Leonel Da Silva, pemain import yang dibawa masuk pada awal Januari 2023 bersama empat lagi muka baharu.
Namun, tidak seperti rakan sepasukannya ketika itu Casagrande, Mark Herold Goulon dan Levy Clemen Madinda, peranan Vinicius agak tenggelam berbanding tonggak import lain yang sering menjadi nadi utama skuad Jang dalam saingan Liga Super.
Sepanjang musim 2023, pemain berusia 28 tahun itu hanya mengisi skuad simpanan NSFC bagi kempen Piala MFL dan langsung tidak diturunkan dalam mana-mana aksi Liga Super mahupun Piala FA.

Vinicius (kanan) hanya sempat beraksi sebagai pemain Piala MFL NSFC. — Facebook/NSFC
Walaupun memiliki kemampuan beraksi sebagai pemain tengah bertahan atau menyerang, ketua jurulatih ketika itu, K. Devan, dilihat belum meyakini kesesuaiannya untuk pentas liga utama.
Sebaliknya, Devan lebih banyak mengharapkan pengalaman bekas pertahanan NSFC, Safuwan Baharuddin untuk mengemudi posisi tengah tersebut.
Kini, menurut maklumat di Transfermarkt, pemain berketinggian 1.87 meter itu kembali beraksi di Brazil bersama kelab Primavera-MT, sekali gus menyaksikan impiannya tampil di pentas Liga Super Malaysia masih belum menjadi kenyataan.
3. Limbikani Oscar Mzava
Pemain import dari Malawi, Limbikani Oscar Mzava ditamatkan kontrak oleh Penang FC sebelum sempat membuat penampilan rasmi dalam saingan Liga Super musim 2025/2026.
Semakan di laman Transfermarkt mengesahkan bahawa pemain berusia 32 tahun itu kini berstatus ejen bebas, sekali gus menguatkan spekulasi mengenai pemergiannya daripada skuad Harimau Kumbang.
Difahamkan, keputusan tersebut dibuat selepas Mzava gagal memenuhi kriteria serta standard yang ditetapkan untuk memperkukuh benteng pertahanan Penang FC.
Bek tengah berketinggian 1.90 meter itu pada asalnya dibawa masuk bagi memperbaiki aspek ketahanan defensif pasukan.

Limbikani dikatakan tidak memenuhi kriteria dan standard yang diperlukan Harimau Kumbang. — Facebook/Penangfc
Namun, Mzava hanya sempat beraksi beberapa minit dalam aksi persahabatan pramusim menentang PDRM FC di Stadium Bandaraya pada Julai lalu.
Selepas dua perlawanan Liga Super dihadapi Penang FC iaitu ketika tewas 0-3 kepada Terengganu FC dan seri 1-1 menentang Melaka FC, kelibatnya terus tidak kelihatan dalam skuad.
Situasi itu menguatkan andaian bahawa Mzava telah kembali ke kampung halaman atau sedang mencari pasukan baharu bagi meneruskan kariernya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram
