Skuad Sumandak tunjuk belang, The Rhinos 'hilang tanduk' tanpa Kim Swee


  • Podium
  • Rabu, 24 Sep 2025

Kekalahan Sabah FC 0-8 di tangan JDT pada Isnin seolah-olah menjadi noktah paling pahit yang harus ditelan penyokong. — Facebook Sabah FC

ENTAH apa malang menimpa, Sabah FC yang suatu ketika dulu gah kini bagaikan tumpul tanduk dalam kancah Liga Super.

Pasukan yang pernah disebut pencabar utama, kini hanyut ke tangga ke-10, jauh daripada bayangan pasukan elit tanah air.

Lebih mengecewakan, empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan sudah cukup membuatkan penyokong menggeleng kepala.

BACA LAGI: Bukan Jordi Amat, tetapi 'wonderkid Garuda Merah' pemain Indonesia pertama sarung jersi JDT

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan setakat Arif Aiman 'hilang', ini 3 lagi kesilapan besar Xisco Munoz

Kekalahan 0-8 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim dekat Iskandar Puteri, Johor pada Isnin, seolah-olah menjadi noktah paling pahit yang harus ditelan penyokong.

Ironinya, di saat The Rhinos meraba-raba mencari kemenangan, skuad wanita pula menyinari persada bola sepak wanita negara.

Rekod tujuh perlawanan dengan enam kemenangan serta satu seri sudah cukup membuktikan betapa pasukan 'Sumandak Sabah'  benar-benar lapar untuk menjulang trofi liga bola sepak Wanita.

Tanpa gah bajet besar dan hanya berbekalkan jurulatih tempatan, Bobby Gonzales, 'skuad Sumandak' gah menduduki tangga teratas Liga Wanita Nasional.

Walaupun liga berbeza, semangat juang skuad wanita itu wajar dijadikan cermin buat 'abang-abang' mereka yang kini longlai.

Lebih ketara, cara permainan skuad wanita juga berbeza, mereka rakus memburu kemenangan, penuh semangat untuk menjulang kejuaraan.

Rekod tujuh perlawanan dengan enam kemenangan serta satu seri sudah cukup membuktikan betapa pasukan wanita ini benar-benar lapar untuk menjulang trofi.

Bandingkan pula dengan skuad lelaki, seakan longlai tanpa arah, menunggu nasib ibarat daun kering ditiup angin.

Apa yang lebih mengecewakan, skuad Sabah dibarisi bintang kebangsaan seperti Darren Lok, Dominic Tan, Stuart Wilkin, Daniel Ting dan Fergus Tierney, namun aura mereka seakan-akan tenggelam.

Kim Swee antara jurulatih paling berjaya dalam sejarah moden bola sepak Sabah

Lantas timbul persoalan di mana silapnya? Adakah taktikal, semangat atau sekadar masalah keyakinan?

Sejak pemergian Datuk Ong Kim Swee (OKS), Sabah FC nyata hilang arah.

Statistiknya tidak menipu, dari 86 penampilan dan 48 kemenangan sejak dia mengendalikan pasukan tersebut.

Rekod itu meletakkan dia antara jurulatih paling berjaya dalam sejarah moden bola sepak Sabah.

Namun, pengganti Jean-Paul de Marigny kini masih gagal menyamai sentuhan emasnya.

Hakikatnya, percaturan taktikal ketua jurulatih berasal dari Australia itu setakat ini jelas gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan Liga Malaysia.

Formasi yang dipraktikkan sering menjadikan pasukan terlalu bertahan dan tumpul di bahagian serangan sehinggakan dibolosi dengan mudah, membuktikan taktikal dia tidak menjadi.

Jean-Paul dilihat masih gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan Liga Malaysia.

Lebih memedihkan, pemain import baharu juga gagal mengisi kekosongan besar yang ditinggalkan Saddil Ramdani, Ko Kwang-min, Telmo Castanheira dan Park Tae-su.

Tanpa kreativiti Saddil dan keteguhan Tae-su, The Rhinos kini bagaikan badak tanduk tumpul dan tidak digeruni.

Kontras sekali dengan musim lalu dan 2023, ketika Sabah FC menutup saingan Liga Super di tangga ketiga.

Saat itu The Rhinos digeruni, menjadi pasukan yang mampu menggugat dominasi gergasi liga.

Jika keadaan ini berterusan, Sabah FC bukan sahaja kehilangan kedudukan dalam liga, malah hilang maruah sebagai wakil bola sepak Borneo.

The Rhinos bakal bertemu Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 27 September ini.

Perlawanan itu bukan sekadar tentang tiga mata, tetapi juga tentang maruah sebuah pasukan yang semakin dipersoalkan.

Untuk rekod pada musim lalu dan 2023, Sabah FC berada di tangga ketiga carta Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram