Dimalukan lagi di laman sendiri, 2 legenda The Reds anggap masih terlalu awal bicara nasib Arne Slot


  • Podium
  • Khamis, 27 Nov 2025

Pelbagai desakan mula disuarakan penyokong yang mahu Arne Slot digugurkan segera. — Agensi

KEKALAHAN kesembilan daripada 12 perlawanan terakhir dialami Liverpool FC ketika menerima kunjungan wakil Belanda, PSV Eindhoven dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada Khamis.

Keputusan 1-4 dicatatkan menceritakan masalah besar skuad The Reds yang semakin tertekan dengan prestasi merudum, termasuk di pentas domestik.

Ini sekali gus membuatkan rata-rata peminat mula meletakkan kesalahan di bahu pengurus, Arne Slot yang dikatakan degil kerana enggan membuat perubahan.

BACA LAGI: Legenda Liverpool ‘standby’ kemudi The Reds jika Arne Slot dipecat

BACA LAGI: Pecat Arne Slot? Liverpool sudah ada keputusan lepas tewas mengejut

Skuad The Reds dimalukan di laman sendiri ketika berdepan PSV Eindhoven. Agensi

Jurulatih dari Belanda berkenaan juga acap kali dipersalahkan atas pendekatan taktikal diambil yang kerap merugikan seperti dalam aspek penggantian pemain.

Kesilapan terbabit membuatkan ramai berharap pihak pengurusan Liverpool dapat membuat perubahan terhadap barisan kejurulatihan pasukan, lebih-lebih lagi dengan terdapat lambakan calon tersedia.

Bagaimanapun, bagi legenda The Reds, Steve McManaman, masih terlalu awal untuk membincangkan sama ada pengurus 47 tahun itu wajar digugurkan.

"Melihat kepada apa yang sudah dikecapi dan di mana dia berada musim ini, saya berasakan terlalu awal untuk berkata akan perkara itu.

"Saya faham perkara itu, tetapi dengan jadual sukar kebelakangan ini, hal itu terlalu awal untuk dibangkitkan jika melihat kepada kedudukan The Reds ketika ini," katanya.

McManaman yakin tempoh lebih panjang perlu diberikan kepada Arne Slot. Agensi

Arne Slot membuktikan nilai dirinya buat kelab Merseyside tersebut musim lalu selepas membantu mereka menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namun, situasi berbeza dialami bagi kempen 2025/26 memandangkan Liverpool kini terkeluar dari kelompok 10 teratas liga selain turut bergelut dalam saingan UCL.

Keadaan itu membuatkan posisinya sebagai pengurus pasukan tercabar, tetapi McManaman yakin keputusan hanya boleh dibuat memasuki Januari yang akan memberikan penilaian sebenar skuad The Reds.

Pandangan bekas pemain antarabangsa England itu turut disokong seorang lagi legenda Liverpool, Steven Gerrard yang berpandangan tekanan sedemikian sudah menjadi kebiasaan dalam landskap bola sepak moden.

Gerrard beranggapan tekanan sedemikian sudah menjadi norma dalam landskap bola sepak moden. Agensi

"Anda tahu bahawa setiap kali gagal meraih keputusan baik, soalan serius akan diajukan, terutamanya jika berada di kedudukan teratas.

"Saya setuju dengan McManaman kerana anda dan saya pernah mengalami masalah sebegini. Saya mengalami nasib yang mana diangkat dan yang mana saya dikritik, ia tidak boleh dielak," katanya.

McManaman dan Gerrard pernah berada dalam satu pasukan pada penghujung era 1990-an dengan Liverpool ketika itu turut berdepan kecelaruan identiti.

Bagaimanapun, ia bukanlah alasan untuk penyokong mencari jalan penyelesaian dengan meminta agar Arne Slot pantas digugurkan dalam masa terdekat.

Skuad The Reds berpeluang bangkit dengan perlawanan menentang West Ham United dalam saingan liga pada Ahad depan sebelum menerima kunjungan Sunderland di laman sendiri empat hari kemudian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram