RENTAK cuba diperolehi Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite musim ini terganggu setelah mereka tewas di tangan Melbourne City FC di AAMI Park, Australia pada Selasa.
Kealpaan benteng pertahanan jelas menghukum skuad Harimau Selatan yang dibolosi seawal minit ketiga menerusi Max Caputo sebelum tuan rumah mengganda kedudukan pada minit-minit akhir permainan hasil jaringan Medin Mehmeti.
Selain itu, jentera serangan JDT juga perlu dipersalahkan atas kekalahan berkenaan, terutamanya Bergson da Silva dan Jairo da Silva yang berkali-kali mensia-siakan peluang.
BACA LAGI: Lupakan Castillejo, Hidalgo kini pilihan terbaik tampung kehilangan Arif Aiman

Skuad Harimau Selatan jelas tempang dengan ketiadaan Arif Aiman ketika bertandang ke Australia. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, kegagalan mencetak gol itu boleh dikatakan berpunca daripada ketiadaan pemain sayap kanan, Arif Aiman Hanapi yang sudah bermusim-musim mempamerkan bakatnya bersama JDT.
Dia yang mengalami kecederaan ketika tugasan antarabangsa bersama Harimau Malaya pada awalnya disangka tidak meberi impak besar kerana JDT memiliki pilihan lain di posisi itu seperti Manuel Hidalgo dan Samu Castillejo.
Ini dikuatkan lagi dengan keunggulan jentera serangan JDT ketika berdepan Melaka FC yang tidak berdepan masalah untuk mencetak tujuh gol tanpa kelibat Arif Aiman.
Bagaimanapun, ketika berdepan Melbourne City FC, Oscar Arribas yang diletakkan sebagai pemain sayap kanan bergelut untuk mencipta peluang seperti mana kerap ditampilkan bintang tanah air itu.

Oscar diharapkan mampu membawa impak besar ketika berdepan Melbourne City FC. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Kesukaran itu sememangnya pernah dikupas sebelum ini memandangkan Arif Aiman memikul tanggungjawab besar mencipta mahupun menyudahkan peluang.
Ini dibuktikan dengan tujuh gol dan 11 bantuan jaringan direkodkan di pentas Liga Super setakat ini dengan angka itu bukanlah sesuatu yang asing lagi buat pemain berusia 23 tahun terbabit.
Tetapi, impak dibawanya tidak terhad di situ kerana kelincahan Arif Aiman juga merupakan aset besar JDT kerana dia berpotensi melepasi benteng pertahanan menggunakan kebolehannya menggelecek bola.
Meskipun Hidalgo juga memiliki keupayaan sedemikian, impak mampu dibawa tidak cukup untuk membuatkan skuad bimbingan Xisco Munoz itu di tahap terbaik.

Hidalgo pada awalnya disebut-sebut sebagai pengganti terbaik Arif Aiman. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Tidak cukup dengan itu, pengalaman dimiliki pemain kelahiran Kuantan, Pahang tersebut juga merupakan aset utama yang meletakkannya jauh lebih tinggi daripada rakan sepasukannya.
Dia yang sudah didedahkan dengan aksi tahap tertinggi sejak usia 19 tahun membolehkannya beraksi tanpa rasa gerun sehingga meraih pujian menggunung daripada pihak lawan.
Malah, pengalaman itu juga jauh lebih bermakna berbanding Castillejo yang sudah beraksi di liga kompetitif sekitar Eropah, termasuk Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Kebolehan dimiliki Arif Aiman juga perlu diakui apabila dia berjaya menembusi senarai pendek Pemain Terbaik AFC hanya kira-kira lima tahun selepas berada dalam pasukan utama.

Kejayaan berada dalam kelompok tiga teratas Pemain Terbaik AFC menceritakan tahap sebenar Arif Aiman.
Pencapaian tersebut menyuntik keyakinan besar buatnya yang masih mempunyai tahun-tahun cerah untuk menjadi lebih baik, terutamanya jika diberi tunjuk ajar mencukupi.
Cabaran hebat turut dihadapi untuk membawa pulang anugerah itu kerana dia bersaing dengan dua bintang Asia, Salem Al-Dawsari dan Akram Afif yang masing-masing jauh lebih terkenal di Asia.
Kupasan di atas menceritakan bagaimana pentingnya pemain itu buat JDT dengan ada yang beranggapan dia merupakan aset lebih berharga berbanding import, termasuk Bergson.
Ketiadaannya dalam aksi-aksi akan datang, terutamanya di pentas ACL Elite akan membuatkan skuad Harimau Selatan terus bergelut.
Penyelesaian terbaik boleh dilihat ketika ini adalah dengan mengubah formasi dan gaya permainan pasukan, namun Xisco tidak akan mengambil langkah drastik sebegitu melihat kepada padatnya jadual semasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
