Lupakan Castillejo, Hidalgo kini pilihan terbaik tampung kehilangan Arif Aiman


  • Podium
  • Isnin, 24 Nov 2025

Sebahagian sesi latihan skuad Harimau Selatan menjelang aksi bertemu Melbourne City FC dalam saingan ACLE. — Facebook/JST

 

 

SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal beraksi tanpa khidmat pemain sayap lincah, Arif Aiman Hanapi dalam beberapa perlawanan penting domestik dan Asia selepas pemain itu mengalami kecederaan ketika aksi menentang Nepal baru-baru ini dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027.

Arif Aiman terpaksa dikeluarkan lebih awal dalam kemenangan skuad Harimau Malaya 1-0 ke atas Nepal di gelanggang keramat pasukan kebangsaan.

Perkara itu disahkan oleh pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz yang memaklumkan bahawa Arif Aiman perlu direhatkan buat sementara waktu sehingga proses pemulihannya selesai.

BACA LAGI: [VIDEO] Kontroversi gol minit akhir tak halang Syafiq Ahmad luang masa dengan bekas rakan di JDT

BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong bergaduh lagi, kali ini di luar Stadium Paroi, entah bila perangai nak berubah?

Arif Aiman (tengah) mengalami kecederaan ketika beraksi bersama skuad Harimau Malaya menentang Nepal. — Facebook/johoreancomrade

Kecederaan itu dijangka menyebabkan Arif Aiman terlepas dua perlawanan terdekat termasuk aksi penting menentang Melbourne City FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) pada 25 November, diikuti perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor hanya empat hari kemudian.

Ketiadaan tonggak berusia 23 tahun itu pasti dirasai, namun JDT dilihat tidak berdepan masalah besar kerana memiliki beberapa pemain berkualiti sebagai pengganti.

Antara nama yang disebut-sebut untuk mengisi kekosongan tersebut ialah bekas pemain Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo serta pemain berpengalaman, Samu Castillejo.

Namun berdasarkan prestasi semasa, Hidalgo dilihat sebagai calon paling sesuai untuk mengisi posisi sayap kanan.

Hidalgo (kanan) antara nama yang kini disebut-sebut sesuai untuk mengganti posisi Arif Aiman. — Facebook/JST

Hidalgo ketika ini mempamerkan aksi meyakinkan, manakala Castillejo dilaporkan masih bergelut dengan konsistensi prestasi.

Hidalgo bukanlah nama asing dalam sistem JDT dan sudah pernah diberi peluang beraksi sebanyak 11 kali bersama skuad utama.

Sepanjang penampilan tersebut, pemain sayap berusia 26 tahun itu berjaya menjaringkan tiga gol dan mencipta empat bantuan gol, satu rekod yang dianggap cukup positif bagi pemain yang masih mencari tempat tetap dalam kesebelasan utama.

Berketinggian 1.74 meter, Hidalgo turut mempunyai motivasi tinggi untuk membuktikan dirinya, lebih-lebih lagi ketika dia bebas daripada segala masalah kecederaan.

Castillejo dilihat kurang memberi impak di atas padang. — Facebook/JST

Faktor usia yang lebih muda berbanding Castillejo turut memberi kelebihan kepadanya untuk tampil lebih konsisten sepanjang jadual padat JDT.

Dengan pengalaman luas dalam saingan Liga Malaysia serta prestasi semasa yang memberangsangkan, Hidalgo dilihat sebagai pilihan paling ideal untuk menggalas tugas besar menggantikan Arif Aiman.

Buat JDT, kehilangan Arif Aiman merupakan cabaran besar, namun dengan adanya squad depth yang dimiliki, Harimau Selatan dijangka mampu mengekalkan prestasi cemerlang dalam misi mereka di pentas domestik dan Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram