[VIDEO] Entah apa punca, pemain JDT-Melbourne City bertikam lidah lepas tamat aksi di Australia


  • Podium
  • Selasa, 25 Nov 2025

Tangkap layar memaparkan Bergson dilihat bertikam mulut dengan penjaga gol Melbourne City.

IMPIAN Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) lebur selepas tewas 0-2 kepada Melbourne City FC di Stadium Melbourne Rectangular, Australia pada Selasa.

Turun dengan keyakinan tinggi hasil kemenangan ke atas Chengdu Rongcheng FC (2-0) dan Shanghai Shenhua FC (3-1), Harimau Selatan dikejutkan seawal minit ketiga apabila Max Caputo menanduk masuk bola hantaran sepakan sudut Takeshi Kanamori untuk meletakkan tuan rumah di depan.

Tersentak dengan jaringan awal itu, skuad kendalian Xisco Munoz cuba memperkemas rentak permainan bagi memburu gol penyamaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Jaring gol kemenangan sulung Sabah, sanggul rambut Daniel Ting jadi 'sasaran' lepas geram

BACA LAGI: [VIDEO] Kontroversi gol minit akhir tak halang Syafiq Ahmad luang masa dengan bekas rakan di JDT

Peluang terbaik hadir pada minit ke-37, namun rembatan Bergson da Silva dalam kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol Melbourne City, Patrick Beach.

Beach terus tampil sebagai watak utama tuan rumah apabila cemerlang menafikan beberapa lagi percubaan berbahaya JDT, termasuk rembatan jarak jauh Oscar Arribas pada minit ke-38 dan percubaan kedua Bergson pada minit ke-49.

JDT hampir meraih gol penyamaan pada minit ke-80 selepas Jairo Da Silva mendapat ruang terbuka di dalam kotak penalti, namun sentuhannya hanya menggegarkan palang ketika Beach sudah pun tertewas.

Kegagalan memanfaatkan peluang tersebut akhirnya memakan diri apabila Melbourne City menggandakan kedudukan pada masa kecederaan.

Rembatan deras Medin Memeti singgah di palang sebelum melantun masuk ke gawang, sekali gus mengesahkan kemenangan 2-0 buat pasukan tuan rumah.

Kekalahan itu menyaksikan JDT kekal dengan tujuh mata selepas lima perlawanan, manakala Melbourne City mengumpul sembilan mata untuk melonjak dalam kedudukan kumpulan Zon Asia Timur.

Bagaimanapun, pada penghujung aksi, berlaku satu insiden melibatkan penyerang JDT, Bergson yang dilihat bertikam lidah dengan penjaga gol Melbourne City.

Menerusi satu rakaman dikongsi di Facebook, Bergson dilihat mengadu kepada pengadil seolah-olah mempertikaikan tindakan lawan.

Namun, pengadil mengambil keputusan melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pemain terlibat.

Setakat ini, punca sebenar insiden berkenaan masih belum dipastikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram