[VIDEO] Rupanya ada yang baru debut, Melbourne City buktikan tak perlu pemain bintang nak calarkan ego JDT


  • Podium
  • Rabu, 26 Nov 2025

Caputo (kiri) meraikan gol pertama pasukannya bersama Takeshi Kanamori.  — Facebook/MelbourneCity

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) gagal mendapatkan tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ALCE) selepas tewas 0-2 kepada Melbourne City FC di Stadium Melbourne Rectangular pada Selasa.

Harimau Selatan tiba dengan momentum yang tinggi untuk mendapatkan kemenangan selepas berhasil menundukkan Chengdu Rongcheng FC (2-0) dan Shanghai Shenhua FC (3-1) pada aksi sebelum ini.

Bukan itu sahaja, Xisco Munoz juga menurunkan pemain berkualiti termasuk tiga pemain tempatan iaitu Nacho Mendez, Afiq Fazail dan Natxo Insa sebagai ketua pasukan. 

BACA LAGI: [VIDEO] Entah apa punca, pemain JDT-Melbourne City bertikam lidah lepas tamat aksi di Australia

BACA LAGI: Kita tahu JDT kuat di tempat sendiri — Haziq Nadzli

Barisan bintang import pula termasuk Andoni Zubiaurre, Raul Parra, Eddy Israfilov, Antonio Glauder, Jonathan Silva, Oscar Arribas, Jairo dan peledak berpengalaman JDT iaitu Bergson da Silva. 

Dibandingkan dengan Melbourne City yang cukup berani mempertaruhkan tujuh pemain muda dengan usia 25 tahun ke bawah di kesebelasan utama menentang pasukan gergasi Liga Malaysia itu. 

Sudah pasti paling menyinar adalah dua 'ubi muda' yang menjaringkan gol iaitu Max Caputo berusia 20 tahun dan pemain gantian, Medin Memeti apabila cemerlang melakukan debutnya di pentas ACLE.

Keberanian wakil Australia berkenaan menggunakan bakat pemain muda di pentas tertinggi Asia itu mendapat pujian penyokong bola sepak tanah air dengan menyifatkan ia sebagai satu langkah berani. 

"Melbourne City telah membuktikan bahawa mereka tidak memerlukan pemain bintang ternama untuk meraih kemenangan penting, terutama di pentas Asia. Mereka hanya perlukan semangat dan bakat anak muda tempatan Australia untuk menundukkan JDT. 

"Dua gol yang memastikan kemenangan dijaringkan oleh Max Caputo (20 tahun) dan Medin Memeti (18 tahun). Menentang JDT adalah debut pertama buat Medin Memeti dalam ACL Elite. Debut pertama terus dapat gol pertama," puji Empayar Bola. 

Caputo diletakkan sebagai penyerang utama Melbourne City mengejutkan JDT seawal minit ketiga apabila pemain itu berhasil menanduk masuk bola hasil sepakan sudut Takeshi Kanamori. 

Kesebelasan utama JDT menentang Melbourne City. — Facebook/JDT

Manakala jaringan gol kedua Melbourne pula diperoleh pada masa kecederaan melalui rembatan deras Memeti yang terkena palang sebelum masuk ke dalam gawang pasukan pelawat. 

Semangat dipamerkan barisan pemain muda Melbourne City wajar menjadi pencetus motivasi kepada kelab-kelab Liga M, termasuk JDT agar lebih yakin bahawa bakat muda mampu menjadi aset serta 'senjata rahsia' pasukan. 

Kekalahan itu menyaksikan JDT kekal dengan tujuh mata selepas lima aksi, manakala Melbourne City mengumpul sembilan mata untuk melonjak dalam kedudukan kumpulan Zon Asia Timur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram