Pasang cita-cita lepasi peringkat kumpulan, Bangkok United waspada kualiti Selangor FC


  • Podium
  • Rabu, 26 Nov 2025

Pertembungan terakhir di antara kedua-dua pasukan menyaksikan skuad Gergasi Merah tumpas di laman sendiri. — Facebook/Bangkok United

EMPAT kekalahan berturut-turut dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two menyaksikan peluang Selangor FC untuk ke pusingan seterusnya tertutup rapat.

Mereka yang kini menduduki tangga tercorot Kumpulan G terpaksa mengakui bahawa standard pasukan belum cukup untuk menandingi lawan dari sekitar Asia Tenggara.

Bagaimanapun, ini bukanlah alasan untuk skuad Gergasi Merah mengibar bendera putih terlalu awal menjelang perlawanan kelima berdepan Bangkok United di tempat lawan pada Rabu.

BACA LAGI: Sudah terbukti di MBPJ, JDT perlu waspada bisa 3 bintang Bangkok United

BACA LAGI: Tonggak Bangkok United angkat Arif Aiman, penyerang berbisa sebagai 2 ancaman terbesar JDT

Skuad Gergasi Merah mempunyai kualiti untuk mencipta kejutan. — Facebook/Selangor FC

Perlawanan itu boleh menjadi platform buat Selangor FC meraih mata pertama musim ini dalam saingan ACL Two meskipun pihak lawan memiliki keazaman lebih tinggi.

Ini kerana kelab dari Thailand tersebut mahu meraih tiga mata penuh demi menempah slot ke pusingan kalah mati dengan mereka kini menduduki tangga kedua kumpulan.

Malah, pengendali Bangkok United, Totchtawan Sripan berkata, kemaraan berkenaan merupakan cita-cita pasukan tersebut meskipun tahu kualiti dimiliki skuad Gergasi Merah.

"Kami tidak pernah memandang rendah Selangor sejak kemenangan pertama kami. Dalam aksi di laman sendiri ini, kami yakin setiap pasukan dalam kumpulan ini adalah baik.

"Semua pasukan mempunyai jumlah pemain import yang bagus dan walaupun mereka sudah menukar jurulatih, mereka masih berpotensi membawa cabaran besar," katanya.

Totchtawan (kanan) lebih fokus kepada keputusan pasukannya dalam merebut tempat ke pusingan kalah mati. — Facebook/Bangkok United

Dalam pertembungan di Stadium MBPJ, Selangor pada 18 September lalu, Bangkok United tidak berdepan masalah untuk menumpaskan kelab Liga Super itu menerusi keputusan 4-2.

Keputusan tersebut jelas membakar semangat anak-anak buah Totchtawan yang melakar kini merekodkan sembilan mata hasil tiga kemenangan dan hanya satu kekalahan ketika berdepan Persib Bandung.

Jurulatih berusia 53 tahun itu turut percaya Selangor FC turut mahu meraih tiga mata meskipun tidak lagi berpeluang untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati.

"Ini akan menjadi sebuah perlawanan sukar dan kami tidak akan cuai. Kami akan berpegang teguh terhadap cara dan gaya permainan ditetapkan," katanya lagi.

Kemenangan ke atas skuad Gergasi Merah akan sedikit sebanyak mengesahkan kemaraan Bangkok United, namun masih perlu menunggu keputusan perlawanan antara dua lagi wakil dalam Kumpulan G, Lion City Sailors dan Persib Bandung. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram