Tindakan agresif halang tugas wartawan tak boleh diterima — FAM


  • Podium
  • Rabu, 26 Nov 2025

FAM mengutuk keganasan dialami Haresh (kanan) yang dikenali sebagai wartawan lantang dalam mengulas pelbagai isu tempatan.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan, intimidasi atau ancaman terhadap mana-mana individu, termasuk wartawan yang memainkan peranan penting dalam landskap sukan negara.

Kenyataan itu dikeluarkan Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi susulan kes serangan ke atas wartawan sukan, Haresh Deol yamg dilakukan dua lelaki di Bangsar pada Selasa.

Yusoff berkata, pihaknya memandang serius kes itu selain berharap siasatan pihak berkuasa dibuat secara menyeluruh bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab.

BACA LAGI: Polis tahan lelaki serang Haresh Deol, suspek direman 3 hari

BACA LAGI: SAM kecam kes wartawan diserang, Hannah Yeoh yakin polis siasat dengan teliti

Yusoff mengutuk sekeras-kerasnya insiden dialami Haresh Deol baru-baru ini. Facebook/FAM

"FAM juga ingin menegaskan bahawa sebarang tindakan agresif atau cubaan menghalang tugas profesional wartawan adalah tidak boleh diterima sama sekali.

'Ia tidak mencerminkan semangat kesukanan serta nilai integriti yang diperjuangkan oleh badan induk ini. Pada masa sama, FAM akan terus bekerjasama rapat dengan pengamal media serta memastikan ruang yang selamat, profesional dan saling menghormati diwujudkan antara semua pihak yang terbabit dalam industri sukan negara," katanya.

Dalam serangan itu, Haresh dilaporkan mengalami kecederaan di muka, tangan dan tubuh badan, malahan kejadian itu turut dirakam individu dipercayai terlibat dengan suspek.

Kes berkenaan menerima perhatian pelbagai pihak, termasuk Majlis Media Malaysia (MMC) dan Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang mengutuk tindakan sedemikian.

Haresh merupakan antara wartawan yang lantang mengkritik pelbagai isu kebelakangan ini, termasuk skandal melibatkan tujuh pemain warisan negara.

Setakat ini, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan seorang suspek berusia 37 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Lelaki berkenaan dipercayai ditahan di kediamannya sekitar Cheras pada pukul 2 pagi Rabu dan direman selama tiga hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram