Polis tahan lelaki serang Haresh Deol, suspek direman 3 hari


  • Kes
  • Rabu, 26 Nov 2025

Haresh Deol dilaporkan menjadi mangsa serangan sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal.

POLIS menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian serangan ke atas wartawan sukan, Haresh Deol di Bangsar, Kuala Lumpur pada Selasa.

Suspek berusia 37 tahun itu ditahan di kediamannya di sebuah flat dekat Cheras, pada pukul 2 pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan tangkapan berkenaan.

BACA LAGI: SAM kecam kes wartawan diserang, Hannah Yeoh yakin polis siasat dengan teliti

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Greta Thunberg wanita berani’, wartawan Itali saksi Greta dibuli, dibalut bendera negara haram

Haresh berkongsi insiden dialaminya di Bangsar, KL pada Selasa.

“Suspek dibenarkan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian. Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dilakukan bagi mengenal pasti motif,” katanya. 

Serangan tersebut dikongsikan wartawan itu menerusi hantaran di laman X peribadinya yang menyatakan dia diserang dua lelaki sementara seorang lagi merakam insiden berkenaan.

Motif di sebalik kes berkenaan masih belum dipastikan kerana barang peribadinya seperti komputer riba tidak dilarikan semua suspek terlibat.

Haresh yang merupakan Timbalan Presiden Kelab Wartawan Kebangsaan dan pengasas bersama portal Twentytwo13 mengalami kecederaan di muka, tangan dan tubuh badan selepas mengalami serangan itu.

Insiden tersebut menerima perhatian pelbagai pihak, termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan Majlis Media Malaysia yang mengecam bentuk kekerasan itu. — The Star/JUSTIN ZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram