[VIDEO] Bek kiri 'buangan' Selangor terus menyinar di bumi Filipina, bantu kelab menang besar 7-1


  • Podium
  • Isnin, 24 Nov 2025

Sejak menyertai Aguilas-UMak pada Ogos lepas, Ruventhiran sudah tampil dalam lima perlawanan domestik. — Instagram/Ruventhiran

 

 

NAMA V. Ruventhiran sebelum ini pernah menjadi sebutan penyokong bola sepak tanah air selepas dia menyinar bersama kelab Petaling Jaya (PJ) City pada musim 2020 dan 2021.

Dua kempen yang cemerlang bersama kelab berkenaan membuatkan 'saham' Ruventhiran meningkat dan membuatkan berduyun-duyun pasukan Liga Super berusaha untuk mendapatkan khidmatnya.

Akhirnya, Selangor FC berhasil menandatangani bek kiri tersebut dengan ramai menjangka Ruventhiran akan lebih menyinar dan sering beraksi sebagai kesebelasan utama Gergasi Merah.

BACA LAGI: Tak mustahil berulang, cuma Selangor II ada 'rahsia' elak dipintas saat-saat akhir macam musim lepas

BACA LAGI: [VIDEO] Anggap bukan salah penyokong sendiri, Selangor FC fail rayuan hukuman FAM

Bagaimanapun, cerita sebaliknya berlaku untuk Ruventhiran di Gergasi Merah apabila pemain yang boleh beraksi di posisi sayap kiri itu sekadar memanaskan bangku simpanan dan cuma beraksi bersama skuad Selangor FC II.

Cuba bayangkan, Ruventhiran hanya mencatat 16 penampilan bersama Merah Kuning selepas kembali menyertai pasukan itu pada 2023, satu rekod yang tidak disangka untuk pemain disebut prospek Harimau Malaya itu.

Selepas tidak mendapat tempat di Selangor FC, Ruventhiran akhirnya memilih meneruskan karier di Filipina menyertai Aguilas-UMak, sebuah kelab dalam liga utama negara itu.

Berdasarkan perkembangan terbaharu Harimau Abroad di laman X, Ruventhiran bermain dengan cemerlang untuk skuad kendalian Frank Muescan apabila dia berjaya membantu kelabnya merekodkan kemenangan 7-1 ke atas PB-Mendiola.

"V. Ruventhiran masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-68 ketika Aguilas-UMak mencatat kemenangan 7-1 ke atas Valenzuela PB-Mendiola pada Ahad.

"Tidak lama selepas dimasukkan, dia berjaya mencipta dua peluang, dengan salah satunya menghasilkan jaringan," tulis Harimau Abroad pada Ahad.

Sejak menyertai Aguilas-UMak pada Ogos lepas, Ruventhiran sudah tampil dalam lima perlawanan domestik dengan dia sudah merekodkan dua bantuan jaringan untuk kelabnya.

Pasukannya kini berada pada kedudukan kelima liga dengan mencatat lima kemenangan, satu seri dan selebihnya tewas dalam sembilan perlawanan yang sudah diharungi Aguilas-UMak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram