SATU rakaman video yang dimuat naik oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) di laman Instagram mencuri perhatian penyokong tanah air apabila memaparkan keakraban dua bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad dan Haziq Nadzli.
Dalam video tersebut, kedua-dua pemain itu kelihatan saling bertegur sapa dengan penuh mesra, seolah-olah melepaskan rindu selepas sekian lama tidak bersama dalam satu pasukan.
Meskipun kini beraksi untuk kelab berbeza, hubungan mereka jelas masih utuh.
BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong bergaduh lagi, kali ini di luar Stadium Paroi, entah bila perangai nak berubah?
BACA LAGI: 'Tengok nama dah tahu tak ke final', penyokong HM sudah ramal nasib skuad Nafuzi Zain
Haziq yang kini menjadi penjaga gol utama Kuching City FC terus mendapat kepercayaan barisan kejurulatihan The Cats.
Manakala, Syafiq pula menggalas cabaran baharu bersama DPMM FC, kelab yang semakin menunjukkan peningkatan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Momen akrab itu turut menyentuh hati penyokong, yang memuji profesionalisme kedua-dua pemain tersebut.
Manakan tidak, aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada Sabtu itu terpalit dengan kontroversi minit akhir apabila gol penyamaan DPMM FC yang dijaringkan Prosper Boakep dibatalkan oleh pengadil.
Difahamkan, keputusan itu dibuat selepas pengadil mengesan terdapat pelanggaran peraturan sebelum gol tersebut terhasil, sekali gus menyaksikan DPMM FC terpaksa akur tewas 0-1 di laman lawan itu.
Dalam aksi tersebut, penyerang The Cats, Ramadan Saifullah muncul wira buat Kuching City apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-69 menerusi rembatan kaki kanan selepas menerima hantaran baik daripada Scott Woods.
Begitupun, insiden panas di atas padang itu langsung tidak menjejaskan persahabatan antara Syafiq dan Haziq.
Video yang dikongsikan itu menjadi bukti bahawa hubungan baik mereka sebagai rakan sepasukan suatu ketika dahulu tetap kekal, sekali gus menjadi contoh teladan kepada pemain lain mengenai nilai profesionalisme dalam sukan.
Untuk rekod, kedua-dua pemain tersebut pernah beraksi bersama skuad Harimau Selatan pada musim 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
