SABAH FC akhirnya mendapat kemenangan pertama pada kempen kali ini selepas mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk memastikan kemenangan 3-2 ke atas Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.
Ketua jurulatih Sabah, Jean-Paul de Marigny memuji semangat juang pasukannya namun mengakui aspek pertahanan perlu diperbaiki pada perlawanan-perlawanan seterusnya.
"Gol-gol yang kami bolos terlalu mudah, dan seorang penyerang seperti Dylan (Wenzel-Halls) pasti akan menghukum kami," katanya.
BACA LAGI: Selepas menang besar, Gamel tuntut Selangor lebih 'dahaga' jumpa Sabah FC
BACA LAGI: [VIDEO] Jaring gol kemenangan sulung Sabah, sanggul rambut Daniel Ting jadi 'sasaran' lepas geram
De Marigny turut menafikan khabar angin kononnya pertahanan Brazil, Gabriel Peres telah meninggalkan kelab selepas tidak diturunkan dalam beberapa perlawanan Liga dan Piala FA.
"Dia pulang ke Brazil untuk pemulihan lutut. Dia bekerja sangat keras dan akan kembali pada 23 Disember," ujarnya bagi menjelaskan khabar angin Peres dikatakan sudah meninggalkan The Rhinos.
Gosip mengenai pemergian pertahanan tinggi lampai berusia 1.97 meter itu semakin kuat apabila kali terakhir dia beraksi adalah ketika kemenangan besar 6-0 ke atas Bunga Raya dalam saingan pusingan 16 Piala FA pada 17 Ogos 2025.
Sejak perlawanan tersebut, pemain kelahiran Brazil berkenaan langsung tidak lagi disenaraikan dalam skuad kendalian De Marigny.

Tangkap layar Insta Story Peres sebelum ini bagi menjelaskan khabar angin itu.
Dalam pada itu, pemain kelahiran Pulau Pinang, Jafri Firdaus Chew bertindak menjadi pemusnah Harimau Kumbang apabila menghasilkan salah satu gol terbaik saingan Liga Super musim ini untuk membantu Sabah bangkit meraih kemenangan dramatik.
Pemain berusia 28 tahun itu mengejutkan Stadium Likas apabila melepaskan rembatan sejauh 40 meter pada minit ke-56 selepas menerima hantaran pendek daripada pemain tengah Sepanyol, Miguel Cifuentes.
Jafri Firdaus menggegarkan gawang dengan percubaan melengkung yang membuatkan barisan pertahanan Penang dan penjaga gol Khairulazhan Khalid tidak mampu berbuat apa-apa.
Detik magis berkenaan mengubah momentum perlawanan sepenuhnya, sekali gus mencetuskan kemenangan 3-2 Sabah di Kota Kinabalu.
"Saya sangat berpuas hati dengan gol itu kerana sebelum ini saya hanya mampu lakukannya ketika latihan. Tapi kali ini ia berlaku dalam perlawanan sebenar,” kata Jafri Firdaus.
Penang bagaimanapun bermula lebih garang apabila penyerang Australia, Dylan Wenzel-Halls, menjaringkan dua gol pada minit ke-17 dan 39 selepas memanfaatkan kelekaan pertahanan Sabah.
Pasukan tuan rumah kembali dalam permainan menerusi penyerang Bosnia, Ajdin Mujagic, yang merapatkan kedudukan pada minit ke-22.
Selepas jaringan penyamaan oleh Jafri, Sabah melancarkan serangan dengan keyakinan baharu, dan pemain sayap, Daniel Ting, melengkapkan kebangkitan dengan penyudahan tenang pada minit ke-70.
Jafri, yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang kini merekodkan dua gol dan tiga bantuan jaringan dalam saingan Piala FA, serta satu gol dan satu assist dalam lapan penampilan Liga Super.
"Saya yakin boleh beri lebih lagi untuk membantu pasukan capai sesuatu yang lebih manis," kongsinya.
Pasukan Borneo tanah air berkenaan kini berada di tangga kesembilan liga dengan tujuh mata daripada sembilan perlawanan, manakala Penang di kedudukan ke-11 dengan lima mata.
Cabaran seterusnya untuk Sabah ialah aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Selangor di Stadium Petaling Jaya pada 30 November.
Manakala Penang mempunyai dua minggu untuk membuat persiapan bagi perlawanan Liga Super berikutnya, juga menentang Selangor di Stadium Bandaraya, George Town, pada 7 Disember. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
