
PEMAIN tengah Bangkok United, Kyoga Nakamura menyenaraikan dua tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Joao Figueiredo dan Arif Aiman Hanapi sebagai ancaman utama yang perlu diberi perhatian menjelang aksi pembukaan Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Khamis.
Nakamura yang akan beraksi buat kali pertama dalam kejohanan itu meluahkan keterujaannya berdepan juara bertahan Liga Super tersebut.
“Saya sangat teruja menyertai kejohanan ini buat pertama kali. JDT memiliki ramai pemain berkualiti.
BACA LAGI: Pelik tapi benar, Sabah-Penang terikut jejak 2 pendatang baharu Liga Super
BACA LAGI: 'Kami tahu penyokong kecewa’, bek Selangor harap aksi lawan Tampines Rovers pengubat hati fans
Arif Aiman Hanapi dianggap sebagai antara ancaman utama buat Bangkok United. — Facebook/JST
"Joao Figueiredo sangat berbisa. Saya pernah berdepan dengannya semasa aksi Malaysia menentang Singapura sebelum ini dia memang sukar dikawal.
“Kami juga tahu tentang Arif Aiman. Dia pemain muda yang sangat berbakat. Kami tak sabar mahu menguji kemampuan menentang mereka," katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Bangkok United, Totchtawan Sripan turut mengakui kehebatan skuad Harimau Selatan menyifatkan JDT sebagai antara kelab terbaik di Asia bukan hanya Asia Tenggara.
“JDT memiliki fasiliti terbaik, skuad yang seimbang dan berpengalaman luas dalam pertandingan besar. Mereka antara pasukan paling lengkap di rantau ini.
“Kami pernah berdepan kelab hebat dalam Liga Juara-Juara Asia 2, jadi kami tahu apa yang perlu dilakukan. Kami hormat JDT, tetapi tetap dengan perancangan sendiri," ujarnya.
Penyerang berbisa JDT, Joao Figueiredo. — Facebook/JST
Meskipun tewas 1-2 kepada Buriram United dalam aksi Liga Thailand Ahad minggu lalu, Totchtawan menegaskan moral pasukan kekal tinggi dan skuadnya bersedia menghadapi cabaran.
“Bermain dua kali seminggu meningkatkan risiko kecederaan. Tapi kami sudah memperkukuh pasukan sejak pramusim dan kini ada keseimbangan dari segi rotasi,” katanya.
Beliau juga menyifatkan Piala Shopee sebagai platform penting, setanding dengan liga domestik dan Liga Juara-Juara Asia 2 dalam usaha membangunkan pemain tempatan.
“Ini kejohanan penting untuk pembangunan pemain. Kami ikuti edisi pertamanya musim lalu dan bersemangat untuk uji kekuatan dengan pasukan terbaik serantau," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram