Tak lupa ‘guru lama’, Badak, Nazmi Faiz sempat jejak bekas jurulatih lepas tewas di Australia


  • Podium
  • Rabu, 26 Nov 2025

Shahrul Saad (kiri) dan Nazmi Faiz tidak sempat beraksi ketika JDT bertandang ke Australia bagi aksi ACL Elite.

KEPUTUSAN sedikit mengecewakan dialami Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite selepas tewas di tangan Melbourne City FC di tempat lawan pada Selasa.

Wakil Australia itu membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi tandukan Max Caputo sebelum mengganda kedudukan hasil gol minit akhir Medin Memeti pada waktu kecederaan.

Tiga mata dikumpul itu menyaksikan peluang Melbournce City FC untuk mara ke pusingan kalah mati semakin cerah apabila mereka kini di tangga kedua.

BACA LAGI: [VIDEO] Entah apa punca, pemain JDT-Melbourne City bertikam lidah lepas tamat aksi di Australia

BACA LAGI: Tugas getir JDT, bek Australia kembali kukuhkan benteng lawan di ACL Elite

Skuad Harimau Selatan tewas dalam kunjungan ke Australia pada Selasa. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Selain itu, kemenangan berkenaan membawa makna tersendiri buat ribuan penonton yang hadir ke AAMI Park, Australia kerana mereka semakin disegani di pentas Asia.

Malah, kejayaan tersebut turut disaksikan pengendali ternama dari negara berkenaan, Mehmet Durakovic yang tidak lagi asing dengan arena bola sepak tempatan.

Ini kerana sepanjang kariernya, jurulatih berusia 60 tahun itu pernah mengendalikan dua kelab Liga Super iaitu Selangor dan Perak dengan pelbagai momen manis dikecapi.

Tidak cukup dengan itu, momen tersebut membolehkan Durakovic berpeluang melatih bakat tempatan, termasuk Shahrul Saad dan Nazmi Faiz Mansor yang kini beraksi buat JDT.

Durakovic (kiri) sempat bertemu Nazmi Faiz dan Shahrul Saad selepas perlawanan.

Shahrul Saad atau turut dikenali sebagai Badak pernah berada di bawah bimbingan jurulatih berpengaruh itu ketika bersama dalam skuad Seladang.

Bagi Nazmi Faiz pula, majoriti daripada tempohnya di Selangor dihabiskan di bawah bimbingan Durakovic yang membantunya menikmati trofi pertama dalam kariernya, iaitu Piala Malaysia 2015.

Ilmu dicurahkan pengendali itu jelas dikenang kedua-dua bintang Harimau Selatan berkenaan yang sempat mengambil gambar bersama jurulatih itu serta anaknya, Emin yang kini beraksi buat Melbourne City FC.

Pertemuan itu dikongsikan menerusi Instastory pemain tersebut berserta kapsyen 'Teruja bertemu anda' yang menceritakan hubungan berkemungkinan pernah dibina antara mereka.

Durakovic (kiri) dan Shahrul Saad pernah bekerjasama di Perak sebelum ini.

Emin yang kini menyertai skuad Bawah 18 Tahun (B-18) Australia tidak berkesempatan untuk berdepan JDT, namun sudah memainkan peranan penting buat Melbourne City FC di pentas ACL Elite musim ini dengan empat penampilan direkodkan.

Bagaimanapun, dia sudah tentu bergembira atas kemenangan tersebut dalam usaha membantu pasukannya itu mara ke pusingan kalah mati buat pertama kali dalam sejarah.

Sementara itu, buat Shahrul dan Nazmi Faiz, mereka pasti bersemangat untuk kembali merebut tempat dalam kesebelasan utama JDT bagi tiga aksi baki ACL Elite.

Mereka selepas ini akan berdepan Shanghai Shenhua dari China sebelum bertemu dua kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima dan Vissel Kobe dengan mata maksimum perlu direkodkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram