Sudah terbukti di MBPJ, JDT perlu waspada bisa 3 bintang Bangkok United


  • Podium
  • Khamis, 25 Sep 2025

Beberapa pemain berkualiti Bangkok United perlu dipantau rapi dalam aksi pada Khamis nanti. — Facebook/Bangkok United

KELAB Johor Darul Ta'zim (JDT) pastinya memburu kemenangan kedua dalam saingan aksi Kejohanan Kelab Asia Piala Shopee menentang Bangkok United FC pada Khamis di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor. 

Bermain di laman sendiri jelas akan memberi kelebihan banyak kepada skuad kendalian Xisco Muniz lagi-lagi JDT masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan berkenaan selepas merekodkan kemenangan 3-1 ketika menentang Lion City Sailors. 

Bagaimanapun, kekuatan wakil Thailand berkenaan tidak boleh dipantang enteng berikutan mereka baru sahaja meraih kemenangan 4-2 menentang Selangor FC dalam aksi pertama Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

BACA LAGI: Diuji Bangkok United, Selangor bakal dicabar bekas bintang EPL, pakar lontaran jauh Sang Garuda

BACA LAGI: Teruk dibaham JDT, tiba masanya Sabah selesaikan 3 'barah' utama

Tidak dinafikan JDT jauh lebih sukar ditentang daripada Selangor, tetapi kualiti pemain dimilili skuad bimbingan Totchtawan Sripan boleh memberi kejutan kepada Harimau Selatan. 

Berdasarkan kemenangan ke atas Selangor FC pada minggu lepas, beberapa pemain Bangkok United perlu diberi pemerhatian yang rapi kerana kemampuan mereka merosakkan taktikal JDT nanti. 

Kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang perlu diberi perhatian Harimau Selatan dalam aksi kedua Kejohanan Kelab Asia Piala Shopee di SSI pada Khamis itu. 

1) Ilias Alhaft 

Alhaft baru menyertai Bangkok pada awal musim ini. — Facebook/Bangkok United

Penyerang sayap kanan Bangkok United, Ilias Alhaft bakal menjadi pemain berbahaya untuk Harimau Selatan pada Khamis ini selepas dia baru sahaja menjaringkan dua gol menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). 

Kejayaan tersebut bukan sahaja meningkatkan keyakinan peribadinya, malah memberi amaran awal kepada Harimau Selatan bahawa Alhaft bukan sekadar pemain biasa dalam skuad Bangkok United.

Kehebatan pemain berusia 28 tahun berkenaan jelas terpancar melalui kemahiran teknikal dan kepantasan yang dimiliki Alhaft dan menjadikan tonggak berkenaan sukar dikekang pertahanan lawan. 

Walaupun baru sahaja menyertai Bangkok United pada awal musim ini, bekas pemain skuad remaja Belanda itu sudah menjaringkan tiga gol dalam enam perlawanan dia diturunkan oleh barisan kejurulatihan. 

Oleh itu, barisan pertahanan skuad Harimau Selatan perlu mengekalkan disiplin bertahan yang tinggi, selain memastikan pemain lincah itu tidak diberikan ruang di kawasan berbahaya. 

2) Muhsen Al Ghassani

Al Ghassani merupakan penyerang tengah Gergasi Merah. — Facebook/Bangkok United

Muhsen Al Ghassani berjaya mencetak satu gol penting dalam perlawanan menentang Gergasi Merah, sekali gus menonjolkan ketajaman penyudahnya sebagai penyerang tengah di pentas kompetitif. 

Jaringan itu bukan sahaja membantu pasukannya meraih kemenangan, malah mengangkat reputasinya sebagai ancaman berbahaya yang mampu memecahkan benteng pertahanan mana-mana lawan.

Keupayaan Al Ghassani tidak terhad kepada ketajaman di depan gawang semata-mata, sebaliknya dia turut memiliki kekuatan fizikal dan kepantasan yang memberi kelebihan dalam situasi serangan balas. 

Dengan keyakinan tinggi hasil jaringan tersebut, pemain kelahiran Oman itu dijangka turun dengan semangat membara menentang skuad Harimau Selatan untuk sekali lagi mencipta impak. 

Bagi JDT, kehadiran Al Ghassani menuntut perhatian khusus daripada barisan pertahanan mereka dengan disiplin bertahan dan komunikasi yang mantap amat penting bagi mengekang pergerakan pemain itu terutamanya ketika Bangkok United melancarkan serangan pantas. 

3) Everton Goncalves

Everton sudah bersama Bangkok United selama sembilan tahun. — Facebook/Bangkok United

Ketua pasukan Bangkok United, Everton Goncalves tampil cemerlang ketika menentang Selangor, bukan sahaja sebagai benteng kebal di bahagian pertahanan, malah sebagai pemimpin yang berjaya mengemudi rakan sepasukan dengan penuh disiplin. 

Keberkesanan pemain yang sudah bersama Bangkok United sejak 2017 itu dalam mengatur organisasi bertahan jelas memberikan keyakinan kepada pasukan, sekali gus mengangkat reputasinya sebagai tonggak utama kelab. 

Sebagai seorang bek tengah, pemain berusia 35 tahun berkenaan menampilkan kelebihan dari segi pengalaman, kekuatan fizikal dan ketenangan dalam mengawal situasi bertekanan tinggi. 

Harimau Selatan pula perlu berhati-hati dengan kehadiran pemain berpengalaman ini kerana Everton bukan sahaja berperanan sebagai pertahanan kental, malah ancaman ketika situasi bola mati. 

Dengan ketinggian 1.85 meter dan ketajaman tandukan, dia mampu menjadi senjata tambahan Bangkok United dalam usaha memburu jaringan. Justeru, barisan penyerang JDT perlu lebih kreatif mencari ruang untuk menembusi benteng yang dikawal ketat oleh kapten lawan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram