Masalah penglihatan tak halang pemenang 3 emas Para SUKMA 2024 raih diploma UiTM


  • Podium
  • Rabu, 26 Nov 2025

Meski mempunyai masalah Macula Degeneration, Ikmal berjaya meraih sijil diploma sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103.

JUARA bertahan tiga acara olahraga Para SUKMA, Ikmal Fathillah Abu Arqam menyasarkan untuk menyumbangkan pungutan pingat bagi kontinjen negara yang akan beraksi pada Sukan Para ASEAN, tahun hadapan.

Ikmal yang memenangi acara 100m, 200m dan 400m kategori T13 (kecacatan penglihatan) pada Para SUKMA 2024 juga berharap dapat memperbaiki catatan bagi ketiga tiga-acara berkenaan pada edisi akan datang.

Ikmal Fathillah, 21 berjaya menamatkan pengajian dalam Diploma Pengurusan Maklumat (IM) sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini mahu menjadikan kejayaan menamatkan pengajian sebagai inspirasi untuk melakar kejayaan lebih banyak.

BACA LAGI: Pernah raih 2 pingat emas SUKMA, perasaan ejen hartanah 'membuak-buak' kembali ke trek

BACA LAGI: Para SUKMA: Baru 2 hari berlangsung, atlet Kedah, Sarawak antara berjaya pecahkan 5 rekod olahraga

Ikmal Fathillah meraih tiga pingat emas dalam temasya Para SUKMA 2024. Facebook/UiTM

“Perasaan hari ini sangat gembira sebab pertama kali berdiri di pentas graduasi, habiskan diploma dengan jayanya. Alhamdulillah,” kata Ikmal.

Menceritakan pengalamannya sepanjang pengajian, dia bersyukur dapat menamatkan pengajian walaupun berdepan masalah penglihatan yang dikenali sebagai Macula Degeneration, keadaan di mana dia melihat tompokan hitam di titik tengah pandangan.

Sepanjang pengajian, Ikmal menyesuaikan cara pembelajaran dengan menggunakan slaid digital yang diperbesar pada skrin komputer riba dan telefon bimbit.

Bagi ujian yang didudukinya, pihak UiTM menyediakan tulisan besar saiz font 18 dan memperuntukkan masa tambahan satu jam berbanding pelajar lain.

Walaupun Ikmal ialah pelajar aliran Sains Tulen Agama, dia memilih untuk mencabar diri bertukar ke bidang baharu meskipun sedar akan kekurangan dihadapinya.

Ikmal (tengah) berdepan cabaran dalam mengharungi tempoh pengajian di UiTM. — Facebook/Shahniza Sahari

Semasa tempoh pengajian, dia mengimbangi pembelajaran dan sukan mengikut jadual yang disusun termasuk latihan pagi sebelum kelas dan latihan di lapangan pada sebelah petang.

Bercakap tentang impian jangka panjang, Ikmal bercita-cita untuk mewakili Malaysia satu hari nanti di pentas Paralimpik dan membawa pulang pingat untuk negara.

Buat masa ini, Ikmal sedang giat mempersiapkan diri untuk temasya Para ASEAN serta SUKMA yang berlangsung tahun depan.

“Setakat ini, persiapan saya berjalan lancar namun saya perlu menyesuaikan diri dengan tuntutan pembelajaran di UiTM sungguhpun setakat ini saya dapat membahagikan masa dengan baik,” ujarnya.

Dia juga berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan dan kemudian berkhidmat sebagai guru pendidikan khas.

“Doakan saya sentiasa dan terus ada di sisi saya walaupun saya jatuh, mahupun di atas.” titipnya kepada keluarga dan insan terdekat yang selalu menyokong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram