
TIDAK sangka percubaan suka-suka menyertai cabaran permainan di pusat beli-belah bertukar menjadi momen manis buat atlet petanque, Putri Nurfarieyna Mohd Farid apabila berjaya meraih hadiah selepas menggunakan skil yang sering dipraktikkan di gelanggang.
Putri Nurfarieyna sebelum ini mencuri tumpuan apabila apabila kesemua balingannya dalam permainan anjuran jenama mi segera tepat mengenai sasaran, sehingga identitinya menjadi topik perbincangan warganet.
Remaja berusia 18 tahun itu berkata, dia pada mulanya sekadar menemani ibunya membeli barang di Alamanda, Putrajaya sebelum terlihat cabaran dianjurkan sebuah jenama mi segera di hadapan pasar raya.
"Yang itu (video tular di pusat beli-belah) saya saja-saja ketika keluar dengan ibu saya sebab nak beli barang dekat Alamanda. Depan Aeon itu ada cabaran Maggie, lepas itu saya saja cuba.
"Mereka suruh saya masukkan bantal yang ringan dalam bekas Maggie. Saya rasa macam main petanque. Lepas itu, saya pun main sajalah. Tahu-tahu empat-empat masuk pula," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, hadiah utama iaitu paket mi segera telah habisdan dia hanya menerima pelekat sebagai ganti, tetapi pengalaman itu cukup menyeronokkan kerana pertama kali skil petanque yang dimilikinya benar-benar membantu di kawasan fun fair.
"Memang tak sangka. Selalu kalau pergi fun fair jaranglah menang. Tapi semalam (Rabu) saya guna skil petanque. Saya shooter, jadi memang dah terbiasa baling dengan tepat. Lepas ini kalau pergi fun fair, saya memang cuba guna skil ni untuk menang hadiah," tambahnya.
Putri Nurfarieyna mula bermain petanque ketika berusia 14 tahun selepas diajak oleh rakan ibu yang sering bermain di Putrajaya, lama-kelamaan timbul minat yang mendalam sehingga kini.
Minatnya dalam sukan berkenaan dibalas dengan kejayaan lebih manis apabila Putri Nurfarieyna berjaya membawa pulang dua pingat gangsa untuk skuad petanque Negeri Sembilan di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak bagi acara triple wanita dan double wanita.
Baru-baru ini, dia sekali lagi membantu Negeri Sembilan meraih kejuaraan berganda pada Kejohanan Remaja Kebangsaan di Seremban 2, apabila skuadnya memenangi acara triple dan double wanita.
“Esok (Jumaat) kami akan bertolak ke Muar untuk kejohanan kebangsaan, acara double open dan double bawah 18. Insya-ALLAH saya akan cuba beri yang terbaik untuk Negeri Sembilan,” katanya.
Putri Nurfarieyna turut meletakkan sasaran tinggi untuk masa depan, termasuk memburu pingat emas di SUKMA 2026 Selangor selepas sekadar meraih gangsa pada edisi terdahulu.
“Insya-ALLAH, lepas SUKMA saya berusaha nak masuk Sukan SEA. Saya akan sertai pemilihan-pemilihan yang ada. Harap rezeki berpihak kepada saya,” katanya penuh tekad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram