KEJAYAAN kontinjen negara dalam temasya Paralimpik baru-baru ini membuka mata orang ramai mengenai potensi sukan tersebut yang lebih cerah berbanding atlet normal di Olimpik.
Jadi, tidak hairanlah apabila pada saingan Para Sukan Malaysia (SUKMA) ketika ini, perhatian sudah diberikan dengan peminat mahu melihat kebolehan sebenar peserta.
Kehangatan itu terbalas selepas dua hari temasya itu berlangsung, sudah lima rekod yang dipegang bertahun-tahun lamanya dipecahkan atlet dari beberapa negeri.
BACA LAGI: SUKMA pun dah ‘berjangkit’, aksi final Melaka-WP dicemari adegan cekik, dihalau padang
BACA LAGI: [VIDEO] Insiden baling botol SUKMA disiasat bawah Seksyen 506 KK — Polis Sarawak
Andy Lau memecahkan rekod yang bertahan selama 14 tahun dalam acara balapan. — Facebook/Unit Komunikasi Awam Sarawak UKAS
Salah satu daripadanya adalah rekod dalam acara balapan 1,500 meter kategori Lelaki T1 yang dipecahkan anak jati Sarawak, Andy Lau Sie Hui menerusi catatan masa 5:19.82 untuk memperbaharui catatan Ranggong Unggang (5:20.53) 14 tahun lalu.
Atlet balapan dari Kedah, Muhamad Nurdin Ibrahim juga berjaya berbuat demikian dalam kategori Lelaki T20 dengan rekod masa 4:21.26 yang lebih baik berbanding Muhammad Haqeem Mustaqim Husmadi (4:24.08) dicatatkan pada temasya Para SUKMA 2018.
Bagi acara lontar peluru kategori Lelaki F12, atlet Johor, Badrul Hisam Musa berjaya memperbaiki rekod peribadi yang dicatatkan pada edisi Para SUKMA 2022 dengan lontaran sejauh 11.85 meter, lebih baik berbanding rekod lamanya sejauh 9.70 meter.
Dalam acara merejam lembing kategori Lelaki F57, atlet Sabah, Elvsius John, muncul juara dengan rekod baharu sejauh 27.43 meter, memecahkan rekod lama 27.02 meter yang dipegang oleh Faridul Masri dari Kuala Lumpur sejak 2016.
Sementara itu, dalam acara lempar cakera kategori Wanita F40, atlet tuan rumah, Mary Bada, memecahkan rekod Cordiria Nyoted dari Sarawak dengan lontaran sejauh 10.66 meter, mengatasi rekod lama 9.36 meter.
Sehingga kini, Sarawak mendahului dengan jumlah kutipan 26 pingat: 10 emas, lapan perak dan lapan gangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram