PADA edisi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, Perak yang merupakan tuan rumah tidak berjaya memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila hanya berada di kedudukan kelima dalam carta kutipan pingat.
143 pingat yang diraih, termasuk 37 emas direkodkan jelas tidak mencukupi untuk meletakkan mereka di persada carta dengan Terengganu mengungguli edisi berkenaan.
Bagaimanapun, temasya berkenaan masih diingati penduduk di negeri tersebut kerana ia adalah rekod terbaik pernah dicatatkan negeri itu sejak 2004.
BACA LAGI: 'Bawa nama Johor patutnya setanding JDT', prestasi skuad futsal Johor di SUKMA bikin gusar
BACA LAGI: Permata SUKMA Kedah letak sasaran 'humble', anggap Sarawak, Selangor dan KL pencabar utama
Mior jelas berpuas hati dengan kejayaan membawa pulang dua pingat emas di laman sendiri. — Instagram/_mioramerul
Selain itu, SUKMA yang diadakan di Perak itu juga berjaya memberikan peluang buat anak negeri itu mempamerkan bakat mereka di hadapan penyokong sendiri.
Salah seorang atlet yang berjaya berbuat demikian ialah atlet dalam acara lumba jalan kaki, Mior Muhammad Amerul Mohd Sahak yang membawa pulang dua pingat emas.
Dia yang bertanding dalam kategori 10,000 meter (m) dan 20,000m menjelaskan kejayaan itu amat bermakna memandangkan ia adalah peluang terakhir buatnya bersaing dalam SUKMA berdasarkan had umur ditetapkan.
"Pertamanya, saya memang gembira kerana sepanjang bersaing dalam SUKMA untuk kira-kira tiga kali, saya tidak pernah meletakkan sasaran pingat emas.
"Tetapi, pada edisi 2018, saya berlatih dengan sehabis baik kerana itu SUKMA terakhir saya sebelum melepasi had umur. Jadi, saya pergi berlatih sehingga melewatkan urusan saya dalam mendaftarkan diri di universiti," katanya kepada Majoriti.
Latihan ditempuhi Mior sepanjang tempoh bergelar seorang atlet membuahkan hasil. — Instagram/_mioramerul
Ketika bersaing di SUKMA Perak, Mior merupakan pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan usianya baru sahaja mencecah 21 tahun.
Namun, saingan cukup hebat perlu dihadapinya apabila dia berdepan atlet Negeri Sembilan, R Premkumar yang merupakan pemenang pingat emas di SUKMA 2016 dalam kedua-dua kategori.
Hasil usaha dan pengorbanan dicurahkan Mior sepanjang tempoh latihan bagaimanapun tidak mengkhianati dirinya dengan dua emas yang dibawa pulang merupakan bukti pencapaian terbaiknya.
Kini, atlet kelahiran Batu Gajah, Perak tersebut tidak lagi terlibat dalam bidang sukan selepas menceburkan diri dalam dunia hartanah selepas menamatkan pengajian.
Mior kini fokus ke bidang berbeza selepas menamatkan pengajian di UPM. — Instagram/_mioramerul
Tetapi, dia masih bercita-cita besar untuk kembali ke sukan yang amat diminatinya itu, lebih-lebih lagi setiap kali melihat kepada atlet muda hari ini.
"Kesedihan (tidak dapat meneruskan karier) mahu tak mahu, memang perlu ditelan. Namun, dalam masa sama, apabila saya menyaksikan atlet yang pergi ke Sukan SEA dan peringkat antarabangsa, saya rasa tercabar.
"Saya terfikir, kenapa dahulu saya tidak dapat tetapi mereka pada hari ini, mudah menerima peluang itu. Saingan dahulu dan kini sama hebat, cuma apabila saya melihat prestasi atlet, hati ini rasa membuak-buak untuk kembali," katanya lagi.
Dalam temasya SUKMA kali ini, acara berjalan kaki 10,000m dan 20,000m akan dipertandingkan bagi lelaki dan perempuan di Stadium Sarawak, Petra Jaya bermula Isnin depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram