[VIDEO] 4,000 rakyat Malaysia terkandas di Hat Yai-Songkhla, Wisma Putra pantau rapat keadaan semasa


  • Massa
  • Sabtu, 22 Nov 2025

Hat Yai dinaiki air akibat hujan tidak berhenti melanda kawasan itu.

WISMA Putra terus memantau situasi banjir di Hat Yai dan Songkhla, Thailand akibat hujan berterusan sehingga menjejaskan pengangkutan, bekalan elektrik, internet dan bekalan air paip.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan sehingga tengah hari ini, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di dua kawasan berkenaan terjejas.

Menurut Wisma Putra, majoriti rakyat Malaysia dilaporkan selamat namun terdapat juga yang terjejas tetapi bilangannya kecil.

BACA LAGI: Lebih 300 guru-pelajar diculik, kes kedua dalam tempoh seminggu di Nigeria

BACA LAGI: [VIDEO] Seorang wanita pengsan, 373 penumpang cemas monorel tiba-tiba terkandas di tengah KL

“Semua dilaporkan selamat, kerana kebanyakannya menginap di hotel bertingkat. Namun, sebahagian rakyat Malaysia mengalami gangguan sementara bekalan elektrik dan akses makanan berkurangan disebabkan gangguan setempat.

“Melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Kedutaan Malaysia di Bangkok, kami terus memantau rapat situasi banjir di Hat Yai dan beberapa daerah di wilayah Songkhla.

“Konsulat Jeneral di Songkhla telah mengaktifkan pasukan operasinya untuk membantu rakyat Malaysia yang mungkin terkandas atau memerlukan bantuan. Konsulat Jeneral juga kekal berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, hotel serta kumpulan rakyat Malaysia di kawasan terjejas.”

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Polis Pelancong Thailand dan pihak berkuasa tempatan telah digerakkan sepenuhnya dan sedang menguruskan bencana tersebut.

Pada masa sama, keadaan cuaca dijangka bertambah baik, dengan hujan lebat diramal berhenti pada Ahad.

“Paras air banjir dijangka surut, dan keadaan keseluruhan dijangka bertambah baik menjelang Isnin (24 November).”

Rakyat Malaysia di Hat Yai dan daerah sekitarnya turut dinasihatkan agar kekal berada di dalam bangunan sekiranya boleh, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, dan berhati-hati di kawasan yang dilanda banjir.

“Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar dengan Konsulat Jeneral di Songkhla atau kedutaan di Bangkok sangat digalakkan untuk berbuat demikian.” — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram