KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) mengenakan hukuman denda terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta dua kelab Liga Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC susulan beberapa pelanggaran peraturan pertandingan di pentas Asia.
Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC membabitkan insiden ketika saingan kelayakan Piala Asia 2027, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) serta Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
FAM dikenakan denda AS$1,875 (RM7,788) selepas didapati melanggar Perkara 2.2 Manual Operasi Pertandingan AFC ketika aksi kelayakan menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Oktober lalu.
BACA LAGI: Tak mustahil berulang, hatrik Bergson jadi igauan terakhir Melaka hadapi JDT di SSI
"Wakil pihak responden menyebabkan kelewatan untuk memulakan separuh masa kedua perlawanan selama dua minit dan 30 saat.
"Denda itu hendaklah diselesaikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan ini dimaklumkan selaras dengan Perkara 11.3 Kod Tatatertib dan Etika AFC," menurut keputusan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC pada 19 Novemer lepas.
Sementara itu, JDT turut dikenakan denda lebih besar berjumlah AS$5,000 (RM20,783) selepas gagal menyediakan 'clean stadium' ketika sesi latihan rasmi menjelang perlawanan ACLE menentang FC Machida Zelvia dari Jepun pada 30 September lalu.

FAM didenda AFC disebabkan kelewatan untuk memulakan perlawanan.
Selangor FC pula didenda AS$1,250 (RM5,195) selepas wakil pasukan didapati menyebabkan kelewatan sepak mula separuh masa kedua selama satu minit dan 20 saat ketika aksi ACL2 menentang Persib Bandung pada 23 Oktober.
Baik JDT mahupun Selangor FC turut diwajibkan menjelaskan denda masing-masing dalam tempoh 30 hari sebagaimana ketetapan AFC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
