Tak mustahil berulang, hatrik Bergson jadi igauan terakhir Melaka hadapi JDT di SSI


  • Podium
  • Khamis, 20 Nov 2025

Jaringan hatrik Bergson di Stadium Sultan Ibrahim membantu skuad Harimau Selatan membenam Melaka United. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

TUMPUAN peminat bola sepak negara kembali tertumpu ke arah saingan peringkat domestik pada hujung minggu ini selepas aksi peringkat antarabangsa.

Perlawanan pertama menanti penyokong merupakan pertembungan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Melaka FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat.

Jurang besar antara kedua-dua pasukan itu dapat disaksikan di carta Liga Super dengan skuad Harimau Selatan kukuh di persada dengan rekod 100 peratus dikekalkan daripada sembilan perlawanan.

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya sempat beraksi 10 minit berdepan Nepal, kecederaan Arif Aiman dikhuatiri ganggu kempen JDT

BACA LAGI: Gagal kawal nafsu dan baran, FAM ada sejarah gantung 2 pemain Liga M seumur hidup

Skuad Harimau Selatan tidak berdepan masalah untuk mengekalkan momentum penguasaan dalam Liga Super.  Facebook/JOHOR Southern Tigers

Sementara itu, skuad Hang Tuah yang kembali ke divisyen pertama bola sepak tempatan masih bergelut untuk menemui rentak dengan tiada sebarang kemenangan direkodkan.

Mereka yang musim lalu beraksi cemerlang di Liga A1 Semi Pro gagal membawa momentum itu sehingga berada di kedudukan tercorot setakat ini.

Bagaimanapun, aksi tersebut dijangka mampu menarik sorakan hangat, terutamanya dalam kalangan penyokong JDT yang yakin bahawa kemenangan ke-10 berturut-turut boleh direkodkan.

Sebaliknya, penyokong Melaka FC pasti kurang tertarik untuk hadir memberi sokongan kerana kurang yakin akan kebolehan anak-anak buah K Devan dalam melakar kejutan di gelanggang lawan.

Skuad Hang Tuah terus bergelut dalam Liga Super musim ini.  Facebook/Melaka FC

Tidak cukup dengan itu, pertembungan terakhir antara kedua-dua pasukan dari negeri tersebut di Stadium Sultan Ibrahim pada Ogos 2022 jelas meninggalkan memori pahit buat peminat tegar Hang Tuah.

Skuad Hang Tuah ketika itu masih dikenali sebagai Melaka United hadir ke aksi berkenaan dengan isu pengurusan cukup membebankan dengan terdapat laporan isu tunggakan gaji.

Kemelut berkenaan memberi kesan hebat terhadap prestasi pasukan di atas padang apabila pemain tidak dapat memberi fokus 100 peratus di atas padang.

JDT sebaliknya berada dalam momentum terbaik menjelang aksi terbabit selepas tidak mengalami sebarang kekalahan dalam 16 perlawanan Liga Super.

Bergson mengabadikan jaringan hatrik di laman sendiri dengan bola perlawanan.  Facebook/JOHOR Southern Tigers

Momentum dimiliki itu jelas membantu skuad Harimau Selatan apabila mereka mudah merobek gawang skuad Hang Tuah pada minit ke-13 menerusi Fernando Forestieri.

Jaringan tersebut jelas meruntuhkan semangat anak-anak buah Asri Ninggal yang tidak berupaya menghalang lebih banyak gol daripada tuan rumah.

Ini dibuktikan apabila penyerang JDT, Bergson da Silva mengambil kesempatan untuk menambah koleksi gol dengan jaringan hatrik direkodkan.

Tiga gol itu turut menyaksikan penyerang dari Brazil tersebut melepasi angka 20 bagi jumlah jaringan semusim yang menceritakan ketajamannya di hadapan gawang.

Bergson sudah tentu terus bernafsu besar untuk menambah koleksi jaringan musim ini.  Facebook/JOHOR Southern Tigers

Kemenangan 4-0 dilakar skuad Harimau Selatan itu kemudian diabadikan sehingga hari ini kerana sejak itu, JDT dan Melaka tidak pernah bertemu.

Perlawanan kali ini dijangka mampu memberikan keputusan lebih baik buat anak-anak buah Xisco Munoz yang semakin ampuh dari minggu ke minggu.

Malah, tidak mustahil sekiranya Bergson sekali lagi menghantui skuad Hang Tuah kerana dia kini berada dalam momentum cemerlang 10 gol daripada sembilan perlawanan Liga Super.

Selain itu, kerapuhan benteng pertahanan Melaka FC yang sudah dibolosi sembilan kali dalam enam perlawanan pasti memberi ruang buat tuan rumah menjaringkan lebih banyak gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram